Disebabkan prestasi yang cemerlang untuk tahun 2022, Ferrari dengan murah hatinya akan memberikan bonus kepada 5,000 orang kakitangannya.
Menurut ketua pegawai eksekutif Ferrari, Benedetto Vigna, kebanyakan pekerja akan mendapat bonus sehingga €13,500 (RM62,814), atau kenaikan 12.5 peratus berbanding tahun sebelum ini.
Sepanjang tahun 2022, Ferrari telah berjaya mengedarkan 13,221 unit kenderaan, atau peningkatan sebanyak 18.5 peratus berbanding tahun 2021.
Ia turut disumbangkan dengan pengenalan model baharu Purosangue di mana tempoh menunggu kini mencecah dua tahun dan pelanggan baharu terpaksa bersabar kerana buku tempahan telah ditutup buat sementara waktu.
Ferrari turut menjangkakan kenaikan harga untuk tahun 2023 bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran yang disebabkan oleh inflasi.
Tahun ini juga bakal menyaksikan kehadiran beberapa buah model baharu oleh Ferrari, salah satu daripadanya merupakan model Roma convertible dan model V12 enjin depan yang akan menggantikan peranan 812.
Menjelang tahun 2025, Ferrari akan memperkenalkan kereta elektrik pertama mereka bagi melengkapi penawaran model plug-in hybrid 296 GTB/GTS dan 488 GTB/Spider.
Tidak kurang daripada 15 model baharu (termasuk Purosangue) yang akan dilancarkan oleh Ferrari menjelang 2026, dan pada ketika itu, hanya 40 peratus sahaja yang masih mempunyai enjin pembakaran dalaman tulen.
55 peratus daripadanya akan dilengkapi dengan trenkuasa hibrid, manakala selebihnya merupakan model elektrik tulen.
Sumber: Bloomberg