80% pembeli PROTON, PERODUA guna pinjaman 9 tahun

oleh Firdaus Razani|
Bank pelaburan, AmInvestment Bank melaporkan kira-kira 80 peratus pembeli kereta PROTON dan PERODUA memilih tempoh pinjaman sehingga sembilan tahun.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan berkata, kereta PROTON dan PERODUA menjadi pilihan utama kepada demografi berpendapatan sederhana hingga yang lebih rendah.

Malah, katanya bagi segmen masyarakat ini, kenderaan sedemikian bukan hanya sekadar barangan kehendak, sebaliknya barangan keperluan pengguna.

"Perkara yang menjadi keutamaan kepada mereka adalah bayaran ansuran bulanan. Baki keseimbangan kewangan mereka adalah kadar faedah sedia ada.

"Rakyat biasa memantau dengan rapat OPR (Kadar Dasar Semalaman) memandangkan keadaan kewangan mereka adalah sejajar dengannya. Ia adalah antara faktor yang tidak boleh terlepas pandang oleh kerajaan sekarang.

"Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar OPR tidak berubah pada 3.0 peratus sejak Mei tahun lalu," katanya.

AmInvestment Bank berkata, permohonan dan kelulusan untuk pinjaman kereta ketika ini mengekalkan kadar yang kukuh, terutamanya untuk model Myvi.

Katanya, permintaan untuk kenderaan ini sangat tinggi dengan penghantaran yang tertunggak kembali menjangkau ke tahun sebelumnya, disebabkan pembeli tergesa-gesa untuk membeli didorong oleh keperluan dan kebimbangan yang berlanjutan terhadap potensi kenaikan seterusnya OPR, yang akan meningkatkan kos pemilikan kereta.

Firma penyelidikan itu berkata, pembelian untuk kenderaan terpakai juga masih tinggi ketika ini dan tidak menunjukkan ia terkesan.

Katanya, hal ini kerana pada pertengahan 2023, beberapa pengeluar menghadapi masalah rantaian bekalan, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah, sekali gus menyebabkan permintaan yang berlebihan ke dalam segmen kereta terpakai.

"Jualan adalah kukuh, tetapi kebanyakannya untuk segmen kereta mampu milik, terutamanya buatan Jepun dan domestik.

"Malah, trend ketika ini juga menunjukkan pembeli mengelak pembelian kereta dengan kapasiti enjin yang besar. Ini mungkin disebabkan kebimbangan mengenai rasionalisasi subsidi bahan api," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bank pelaburan itu berkata berdasarkan pemerhatian di bilik pameran kereta, terdapat minat tinggi yang ditunjukkan terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV), dengan ada antara bakal pembeli yang telah berkira-kira mengenai penjimatan bahan api berbanding kos elektrik.

Katanya, tidak dapat dinafikan bahawa BEV ketika ini menjadi tumpuan kepada peminat kereta, terutamanya dalam kalangan golongan T10 yang melihat kenderaan seperti ini sebagai 'kereta mainan', yang sesuai digunakan semasa hujung minggu.

"Daripada semua EV (kenderaan elektrik) yang dibeli, pelanggan memilih tempoh pinjaman selama lima tahun, malah ada sebahagian yang membayar secara tunai, iaitu perkara biasa yang dibuat oleh golongan elit T1.

"Tambahan pula, pelbagai pengecualian cukai seperti duti eksais, cukai jualan dan cukai jalan menjadikan BEV sesuatu yang berbaloi untuk dimiliki oleh golongan elit," katanya.

 

SUMBER : BH Online

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati, kereta jenis Proton Waja dinaiki dua mangsa itu dari Kuantan menuju ke…
Berita Domestik
"Selepas mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jumlah volum industri (TIV) bagi pasaran automotif…
Berita Domestik
PROTON telah menyumbangkan koleksi bahan bacaan kepada SMK Proton City di Tanjong Malim dan…