Berdasarkan hantaran tersebut, Tony menjanjikan perkhidmatan seru-pandu yang serba baharu, jauh berbeza daripada apa yang ditawarkan oleh Grab dan Uber, serta memenuhi citarasa AirAsia yang lebih dikenali sebagai syarikat penerbangan tambang murah.
Turut disertakan adalah gambar barisan armada kenderaan yang bakal digunakan, terdiri daripada 10 unit Toyota Alphard dan Vellfire.
Tiada sebarang butiran lanjut didedahkan, dan menurut khabar angin, terdapat kemungkinan AirAsia mengambil alih salah sebuah syarikat perkhidmatan seru-pandu iaitu Dacsee berdasarkan tangkap layar yang menerangkan kemunculan perkhidmatan baharu AirAsia Ride.
Semakan dibuat terhadap laman web rasmi Dacsee juga tidak menemukan sebarang informasi, apatah lagi kali terakhir Dacsee mengemaskini berita adalah sekitar dua tahun yang lalu, malah laman Facebook dan Instagram Dacsee juga tidak dikemaskini sejak Jun lalu.
Dengan pengumuman berkenaan AirAsia Ride ini, pihak AirAsia boleh mengintegrasikan perkhidmatan seru-pandu mereka ke dalam jadual penerbangan, semuanya di dalam satu aplikasi sahaja.