Hasil kerjasama yang menarik antara Aston Martin bersama Red Bull Advanced Technologies, Cosworth, Rimac dan Integral Powertrain Ltd diterjemahkan kepada penghasilan hypercar hibrid dengan kuasa setinggi 1,160 kuasa kuda.
Enjin hibrid 6.5 liter bentangan V12 yang dibina oleh Cosworth itu mempunyai had putaran enjin sehingga 11,000 rpm dengan kuasa tertinggi dicapai ketika enjin berputar 10,500 kali per minit.
Rimac bertanggungjawab membangunkan sistem hibrid bersama-sama Integral Powertrain Ltd yang menyumbang 160 hp dan daya kilas 280 Nm kepada enjin berkuasa 1,000 kuasa kuda itu.
Menurut Aston Martin, nadi V12 Valkyrie mengambil inspirasi daripada enjin Formula 1 circa 1990-an dan digandingkan dengan rekaan, pengetahuan dan kejuruteraan masa kini.
Menariknya, enjin dan sistem transmisi berfungsi sebagai sebuah stress member pada Valkyrie - elemen struktur aktif casis untuk menghantar kuasa dan daya kilas - selain menjadi titik pelekap (mounting points) kepada sistem suspensi belakang.
Selain daripada versi 'standard' Valkyrie, Aston Martin juga menawarkan versi tertinggi Valkyrie dengan pakej pilihan AMR Track Performance Pack, terdiri daripada panel badan yang dibangunkan khusus untuk kegunaan litar, brek titanium, rim magnesium, dan sistem suspensi boleh laras.