Untuk memberikan acara tersebut seimbang, setiap pemandu diberikan peluang memandu sebuah Honda Civic FC yang dilengkapi tayar Goodyear Eagle F1 Asymmetric 3 bersaiz 225/50 R17, dan turut menampilkan ciri Grip Booster dan Active Braking Technology bagi memberikan prestasi yang cemerlang ketika pemanduan dan juga fasa membrek.
Acara yang merangkumi aktiviti slalom, doughnut dan juga 3-point turn menyaksikan tiga kelab iaitu 86/BRZ Club, VWClubMalaysia dan SQUAD berjaya merebut tiga tempat teratas dengan catatan masa terpantas daripada keseluruhan 15 buah kelab yang bertanding.
Kelab 86/BRZ mendapat tempat pertama dengan catatan masa purata 1 minit 17 saat, manakala kelab VWClubMalaysia berada di belakang (1 minit 20.3 saat) diikuti oleh SQUAD (1 minit 20.4 saat).
Menurut Ben Hoge, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia berkata, The Battle of the Clubs (BOTC) ini merupakan satu platform kepada kelab-kelab kereta di Malaysia untuk saling berkomunikasi, berkumpul dan bersaing dengan cara yang sihat, di samping mengingatkan kepada para pemandu aspek keselamatan yang paling penting ketika berada di atas jalan.
Dimulakan sejak Jun tahun ini, BOTC merupakan kempen tahunan Goodyear Malaysia untuk kelab kereta tempatan dengan sasaran untuk mempromosikan cara pemanduan yang selamat di kalangan rakyat Malaysia.
Selain daripada itu, kempen ini juga turut menguji keupayaan menyelesaikan masalah secara berkumpulan, komunikasi, ketahanan fizikal dan juga skill pemanduan bagi merebut gelaran Best Car Club untuk tahun 2018.