Seperti mana yang kita semua maklum, Geely kini memiliki beberapa buah jenama besar seperti Volvo, Lotus, Lynk & Co, London Electric Vehicle Company dan tidak dilupakan jenama automotif tempatan.
Jadi, sebagai sebuah syarikat yang berazam untuk meluaskan lagi pengaruh mereka di mata dunia, Geely kini melantik bekas ketua pereka Jaguar untuk mengetuai pusat rekaan baharu bertempat di UK.
Wayne Burgess pernah berkhidmat di Jaguar Land Rover sejak daripada tahun 2001 sebagai pengarah unit rekaan Jaguar dan antara kenderaan yang menerima sentuhannya termasuklah F-Pace, F-Type, XE dan generasi terbaharu XJ.
Termasuk fasiliti sedia ada di Shanghai, Barcelona, Gothenburg dan California, studio rekaan serba baharu di UK ini akan bertanggungjawab untuk membantu rekaan secara in-house bagi beberapa jenama seperti Geely Auto, Lynk & Co, LEVC, Lotus dan tidak ketinggalan, Proton.
Menurut laporan, Geely bakal memperkenalkan jenama Lynk & Co di Eropah pada tahun ini, memandangkan jenama baharu itu mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di negara China dan diiktiraf sebagai sebuah syarikat muda yang berkembang pesat.
Burgess bakal berkhidmat di bawah pengawasan Peter Horbury, ketua unit rekaan global Geely.