BJAK sahkan urusan pembaharuan cukai jalan kepada pelanggannya secara pilihan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Syarikat teknologi, BJAK Sdn Bhd (BJAK) hari ini mengesahkan perkhidmatan pembaharuan cukai jalan kepada pelangganya adalah secara pilihan dan ia juga beroperasi seperti biasa .

Syarikat itu menegaskan perkhidmatan utamanya ialah perbandingan dan pembaharuan insurans kereta serta perkhidmatan VIP khas untuk pelanggan.

Katanya, ia disediakan secara perkhidmatan pilihan dan percuma berbanding platform lain yang biasanya mengenakan bayaran antara RM3 hingga RM11 untuk pembaharuan itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Syarikat itu berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif swasta bertujuan meningkatkan nilai pelanggan dan tidak bergabung dengan mana-mana agensi berkaitan kerajaan.

"BJAK juga kekal komited untuk menyediakan penyelesaian yang inovatif dan perkhidmatan cemerlang, melalui standard pematuhan tertinggi," kata kenyataan berkenaan.

Mengulas lanjut, BJAK berkata platformnya juga kekal tertinggi dalam 'review', dengan lebih 250,000 ulasan di Google.

"Semua komen juga dibalas dengan liputan 100 peratus. BJAK turut menyasarkan penyelesaian pada hari yang sama untuk semua pertanyaan atau maklum balas oleh pelanggan," katanya.

Terdahulu agensi berita Bernama melaporkan bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu pun Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah memberi kelulusan kepada sebuah platform pembaharuan insurans secara dalam talian, BJAK Sdn Bhd (BJAK), untuk menjalankan perkhidmatan urus niaga pembaharuan cukai jalan.

JPJ dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pihaknya memandang serius kandungan iklan yang dikeluarkan melalui laman sesawang bjak.my dan media sosial BJAK berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan secara dalam talian yang ditawarkan kepada awam, termasuk program pemberian cukai jalan secara percuma.

JPJ memaklumkan, kenyataan pihak BJAK melalui laman sesawang mereka iaitu 'Pembaharuan roadtax secara dalam talian di BJAK telah diaudit, disah dan diluluskan oleh JPJ' adalah tidak benar dan mengelirukan orang awam.

"Jabatan ini menerima beberapa aduan daripada orang awam antaranya pembaharuan cukai jalan dilaksanakan melalui laman sesawang BJAK, namun tempoh sah laku cukai jalan tidak dikemas kini," kata kenyataan itu.

Jabatan itu menegaskan, tiada integrasi sistem di antara Sistem JPJ (MySIKAP) dengan sistem yang digunakan oleh pihak BJAK.

JPJ memaklumkan, pihaknya turut menerima aduan ketidakpuasan hati orang awam yang perlu membayar caj tambahan ketika memperbaharui cukai jalan dikenakan oleh platform itu.

"Jabatan ini ingin menegaskan, MOT atau JPJ tidak pernah meluluskan caj tambahan yang pada masa ini dikenakan oleh BJAK kepada pelanggan mereka.

"JPJ ingin menggalakkan urus niaga memperbaharui cukai jalan adalah melalui kaunter JPJ, kios JPJ, kaunter bergerak JPJ Mobile, Aplikasi MyJPJ, portal awam JPJ dan platform rakan niaga JPJ (Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM) sahaja," katanya.

Menurut JPJ, pengoperasian yang dilakukan oleh BJAK berkaitan urus niaga pembaharuan cukai jalan adalah tanpa kebenaran jabatan itu.

Justeru, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan yang tidak sah bagi mengelakkan penipuan dan kerugian, selain merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut.

"Jabatan ini sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya pelanggan JPJ sentiasa terpelihara," katanya.

Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ https://jpj.spab.gov.my/.

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Ia berhubung perkhidmatan urus niaga pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan…
Berita Domestik
Menurut Naib Presiden Operasi Bjak, Fatin Izzati menjelaskan, Bjak bekerjasama dengan penyedia BNPL…
Informasi
  Terdapat banyak platform yang kini menawarkan perkhidmatan untuk memperbaharui cukai jalan dan…