BMW 5 Series 2024 generasi kelapan: Lapan Perkara Menarik

oleh Mohamad Hanif|
Generasi ketujuh sedan BMW 5 Series yang telah wujud sejak tahun 2017 kini telah digantikan dengan model sedan generasi baharu yang membawakan kod casis G60.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

BMW 5 Series baharu ini dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada Mercedes-Benz E-Class yang juga baharu dilancarkan bulan lepas.

Tidak seperti rekaan model 7 Series, X7 dan XM yang agak kontroversi, BMW mahukan 5 Series menjadi sebuah model sedan yang paling elegan, dengan menggunakan kata kunci "evolusionari".

Berikut merupakan lapan perkara menarik berkenaan BMW 5 Series 2024:

 

1. Ukuran dimensi bertambah besar

i5


Tipikal mana-mana model generasi baharu, 5 Series juga membawakan perubahan dari segi ukuran dimensi, di mana ia kini lebih panjang (5,060 mm), lebar 1,900 mm.

Dengan ukuran jarak antara roda bertambah kepada 2,995 mm, ia menjadikan ruang kaki untuk penumpang belakang lebih luas.
 

i5


Kapasiti kargo kini sebesar 520 liter untuk model ICE dan PHEV, sementara versi elektrik pula mendapat ruang sebesar 490 liter sahaja.

 

2. Kekal dengan bentuk badan sedan tiga kotak konvensional

i5


Salah satu perkara yang patut dipuji ialah cubaan untuk mengekalkan bentuk badan sedan yang tradisional.

Tidak seperti sedan elektrik Mercedes-Benz yang berbentuk seakan pau, sedan BMW pula tampil lebih elegan.

Harus anda tahu, biarpun kekal dengan rekaan sedan konvensional, nilai kadar pekali seretan (Cd) untuk sedan baharu ini hanyalah serendah 0.23 sahaja, menjadikannya lebih dinamik dan sporti berbanding model 7 Series!
 

i5


Sistem gantungan terdiri daripada tetapan double wishbone di depan dan gandar multi-link di belakang, dan menariknya setiap varian dibekalkan dengan sistem stereng sport berbilang nisbah.

Sedan elektrik i5 pula tampil dengan sistem suspensi udara pada bahagian belakang, diikuti dengan sistem stereng gandar belakang, dan penstabilan olengan aktif 48 voltan yang didatangkan standard untuk model i5 M60 xDrive.

 

3. Pilihan trenkuasa - ICE, PHEV, EV

i5


Pelanggan BMW boleh mendapatkan model baharu BMW 5 Series 2024 dalam beberapa pilihan trenkuasa (bergantung kepada pasaran).

Untuk versi enjin pembakaran dalaman, BMW menawarkan varian 530i dengan enjin 2.0 liter turbo yang mampu menghasilkan 255 hp dan 400 Nm yang memacu roda belakang atau pacuan semua roda xDrive.
 

Sementara varian 540i xDrive pula menampilkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter TwinPower dengan janaan kuasa 375 hp dan 521 Nm (atau 540 Nm dengan bantuan sistem mild-hybrid 48 voltan) yang menjadikan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4.5 saat.

Berminat nak dapatkan 5 Series elektrik? Baca poin nombor lima.

 

4. BMW i5 - sedan elektrik sepenuhnya

EV


BMW turut melancarkan model 5 Series berkuasa elektrik dengan nama rasmi BMW i5, di mana ia ditawarkan dalam dua varian buat masa ini, iaitu eDrive40 dan M60 xDrive.

Varian i5 eDrive40 dibekalkan dengan motor elektrik tunggal RWD berkuasa 335 hp dan 400 Nm, dengan keupayaan memecut dari sifar ke 96 km/j dalam masa 5.7 saat.
 

i5


i5 M60 xDrive pula nyata lebih berkuasa, terima kasih kepada motor elektrik tambahan pada gandar hadapan yang menjadikan kuasa keseluruhan melonjak kepada 590 hp dan 795 Nm, dan pecutan 0-96 km/j sepantas 3.7 saat.

Kuasa penuh boleh diakses dengan memegang paddle shift Boost yang terdapat pada roda stereng sekurang-kurangnya 0.8 saat.


5. Jarak gerak elektrik cecah 475 km

EV


Kedua-dua varian mendapat pek bateri berkapasiti 84.3 kWh yang membolehkan jarak gerak sejauh 475 km dicapai (atau 412 km untuk varian M60 xDrive).

Pemandu i5 M60 boleh menggunakan fungsi kecemasan Max Range di mana kelajuan tertinggi akan dihadkan kepada 90 km/j sahaja, sementara kawalan terhadap suhu iklim dan fungsi pemanas akan dihadkan.

Secara standard, BMW i5 menyokong pengecasan AC 11 kW atau pengecasan pantas DC 205 kW yang membolehkan bateri dicas 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja.

Pembeli model i5 akan mendapat pakej pengecasan 30 minit percuma selama dua tahun di rangkaian pengecasan Electrify America.


6. Sistem iDrive terkini

i5


Untuk ruang kabin, BMW telah melengkapkan bahagian tersebut dengan susun atur papan pemuka yang lebih moden.

Terdapat panel melengkung yang mengandungi skrin kluster digital 12.3 inci, diikuti dengan skrin paparan infohibur sebesar 14.9 inci yang disokong dengan sistem operasi iDrive 8.5 terkini.

Tombol rotari kawalan iDrive juga masih lagi dikekalkan pada konsol tengah, namun tombol gear telah diubah menjadi suis togol yang lebih kecil.
 

i5


BMW juga turut menawarkan akses kepada platform AirConsole yang membolehkan pengguna memuat turun aplikasi permainan mudah alih yang hanya boleh dimainkan apabila kereta berada dalam keadaan statik.

Terdapat juga bar interaktif sensitif sentuhan yang dibawakan daripada model 7 Series pada 5 Series baharu ini untuk kawalan spesifik seperti tetapan suhu kabin dan sebagainya.

Ciri Interaction Bar itu adalah standard untuk model i5, namun pembeli 5 Series ICE perlu menambah wang untuk menggunakan ciri tersebut.

 

7. Teknologi pemanduan autonomi tahap 3

i5


BMW 5 Series generasi baharu kini menampilkan ciri pemanduan autonomi Tahap 3 (SAE Level 3) termasuklah ciri pilihan Highway Assistant yang membolehkan tangan dialihkan daripada stereng pada kelajuan sehingga 137 km/j.

Ia juga boleh membantu menukar lorong di lebuh raya apabila pemandu melihat ke arah salah satu cermin sisi untuk mengesahkan pergerakan yang dicadangkan oleh kereta.

 

8. 5 Series tidak terhad kepada bentuk badan sedan

i5


Mereka yang tidak mahukan sedan 5 Series boleh menunggu ketibaan wagon 5 Series Touring yang akan ditawarkan dengan trenkuasa petrol, plug-in hybrid serta model i5 Touring.

Sedan berprestasi tinggi M5 juga dijangka muncul dengan trenkuasa hibrid yang mampu menjana kuasa sekurang-kurangnya 700 hp.

Di pasaran Amerika Syarikat, harga jualan BMW 5 Series 2024 adalah seperti berikut:

BMW 530i - $57,900 (RM265,848)
BMW 530i xDrive - $60,300 (RM276,867)
BMW 540i xDrive - $64,900 (RM297,988)
BMW i5 eDrive40 - $66,800 (RM306,712)
BMW i5 M60 xDrive - $84,100 (RM386,145)