i3S ialah model terbaharu dari BMW iPerformance, iaitu bahagian khusus BMW bagi kereta-kereta yang di jana sebagai “plug in hybrid” dan berkuasa elektrik penuh.
Bakal di lancarkan di pertunjukan permotoran Frankfurt nanti, i3S menampilkan motor elektrik yang menghasilkan 137 kW (184 hp) dan 269 Nm tork, kenaikan sebanyak 10 kW dan 20 Nm.
Dari segi prestasi, ia lebih laju dari i3, mencatatkan penambahan kelajuan tertinggi sebanyak 10km/j (ke 160 km/j) dan pecutan 0.8 lebih pantas (6.9 saat ke 100 km/j).
Selain dari “enjin" yang lebih berkuasa, i3S juga di pasang dengan sistem gantungan sports baharu, yang merendahkan ketinggian sebanyak setengah inci (12.7 mm).
Ia juga datang siap dengan tayar bersaiz besar (20 inci) atas rim aloi ringan yang sedikit lebar dari i3 biasa.
Tetapi perbezaan ketara boleh di lihat dari luar. Sekarang terdapat bampar baharu dengan lampu kabus yang di ubahsuai. Tidak lagi kelihatan bahagian badan kereta yang berupa plastik seperti dahulu.
Hiasan ruang dalamnya pula menampilkan kemasan jenis Giga Brown (kulit asli) dan Carum Spice Grey (kain bulu bebiri). Dari segi sistem infotainment, terdapat iDrive dan Apple CarPlay.
Malangnya jarak perjalanannya (sekitar 255 km) adalah sama dengan model i3 biasa akan tetapi tempoh mengecas lebih singkat, iaitu 3 jam.
Sesiapa yang tak puas boleh memesan model i3S dengan enjin petrol, iaitu enjin 647 cc 2-silinder yang boleh membantu motor elektrik menambah jarak perjalanan dan kuasa.