BMW M5 paling berkuasa kini dilancarkan - harga atas jalan bermula dari RM942,759.86

oleh Muhamad Hanif|
Kumpulan BMW Malaysia memperkenalkan BMW M5 serba baharu hari ini bersempena BMW M Track Experience 2018 bertempat di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Merdeka Bonanza

Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BMW Malaysia berkata, "BMW M5 ini telah menggondol beberapa gelaran seperti World Performance Car 2018 di New York, serta memecah dua rekod dunia untuk jarak drift paling jauh dan lama (374.2 km dalam masa lapan jam) dan aksi drift paling jauh (79.3 km dalam masa satu jam) melibatkan dua buah kereta yang diiktiraf oleh Guinness Book of Record."
 


Reka bentuk bumper hadapan telah direka semula bagi memastikan sistem penyejukan berfungsi dengan baik, terutama ketika pemanduan di litar sebenar. 

Bonet M5 dihasilkan menggunakan aluminium manakala bumbung pula diperbuat daripada bahan plastik yang diperkukuh dengan gentian karbon (CFRP). 

Diffuser belakang juga telah diubahsuai bersama skirt sisi, M rear apron serta spoiler M bagi memberikan jentera baharu ini imej yang sporty dan lebih berkuasa. 
 


BMW M5 menggunakan enjin bentangan V8 4.4 liter dengan janaan TwinPower Turbo M ini mampu menjana 600 kuasa kuda dan 750 Nm kuasa tork yang masuk seawal 1,800 rpm putaran enjin ini membolehkan BMW M5 mampu memecut 100 km/j dari keadaan pegun dalam masa hanya 3.4 saat. 

Respon enjin telah dipertingkatkan dengan penggunaan pengecas turbo baharu dengan tekanan suntikan maksimum mencapai tahap 350 bar berupaya meningkatkan jangka masa suntikan bahan api dan menambah baik proses pengatoman bahan api. 

Kuasa enjin tersebut dipadankan dengan transmisi M Steptronic lapan nisbah kelajuan yang dilengkapi dengan mod Drivelogic yang membolehkan pemandu memilih tetapan penukaran gear daripada pemanduan santai kepada pemanduan serius di litar. 

Penawaran lapan nisbah kelajuan itu membolehkan kereta M5 ini menikmati kadar penjimatan minyak dalam masa yang sama. 

 


Segala kuasa kemudian disalurkan melalui sistem pacuan semua roda M xDrive dengan lima tetapan mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian pemandu. 

Pemandu boleh memilih untuk menggunakan pacuan semua roda (4WD) ataupun pacuan roda belakang sepenuhnya (2WD) memberikan kelebihan kawalan pemanduan yang lebih dinamik. 

Terbukti melalui ujian prestasi yang dilakukan di litar persendirian BMW Miramas, Perancis serta litar ujian Nurburgring Nordscheleife, BMW M5 ternyata menawarkan pakej pemanduan dinamik yang tiada tandingan serta kestabilan maksimum. 
 


Jentera terbaharu ini turut dilengkapi dengan brek cakera berliang kompaun M yang lebih ringan berbanding sistem brek konvensional, sistem Variable Damper Control (VDC) dengan talaan khusus M, dan stereng M Servotronic.

Kumpulan BMW Malaysia juga menawarkan pakej naik taraf kepada brek seramik karbon M berharga RM95,000 yang didatangkan dengan angkup brek berwarna emas yang mampu menurunkan berat kenderaan sebanyak 23 kg, memberikan kelebihan nyahpecutan dan mengurangkan kadar kelusuhan. 

BMW M5 ini didatangkan dengan penawaran roda standard rim aloi M double spoke 706M bersaiz 20 inci. 
 


Sistem hiburan juga tidak dilupakan oleh BMW apabila M5 turut dilengkapi dengan ciri BMW Connected Drive yang terdiri daripada BMW Navigation Professional bersaiz 10.25 inci, Head-up-Display dengan ciri kandungan khusus M, dan sistem Bantuan Pemandu BMW.

Memegang kemas pemandu di dalam jentera M5 ini ialah tempat duduk standard M pelbagai fungsi serta tetapan tempat duduk pelbagai kedudukan.
 
Tempat duduk M ini dihiasi dengan ukiran rekaan M, ditawarkan dengan pilihan dua tona warna (Aragon/Black dengan Complete Black) dan diakhiri dengan kemasan kulit Merino menambahkan lagi aspek kemewahan yang dibawa oleh M5 ini. 

Trim dalaman jentera M5 ini menggunakan struktur karbon aluminium dengan kemasan dan gilapan berwarna krom gelap. 
 


Pihak BMW Malaysia menawarkan beberapa pakej naik taraf tambahan iaitu Performance Pack (RM30,000), Advance Safety Pack (RM15,000) dan Entertainment Pack (RM55,000) bagi memenuhi keperluan pengguna, serta Pakej Pengalaman Pemilikan Premium menyeluruh yang terdiri daripada

  • jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun
  • servis berjadual percuma
  • jaminan tayar selama 2 tahun dengan penawaran servis run flat tyre
  • bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan BMW
  • aplikasi mudah alih BMW Group Loyalty+ dan BMW White Card Elite
  • servis atas talian BMW

BMW M5 ini hadir dengan pilihan warna Marina Bay Blue Metallic, Donington Grey Metallic dan Singapore Grey Metallic dan harga jualan di atas jalan bermula dari RM942,759.86 tanpa insurans. 

Orang ramai boleh berkunjung ke pengedar-pengedar sah BMW di seluruh negara bermula 1 Jun 2018 untuk melihat dengan lebih dekat jentera prestasi M5 ini. 

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Berita Global
Laporan agensi berita Reuters berkata tindakan drastik itu diambil selepas 27 kes enjin kenderaan…
Berita Global
  S1000RR Sepatutnya dilancarkan tahun lalu, ramai yakin BMW akan melancarkan model supersport ini…
Berita Global
Menurut katalog transmisi yang tersebar daripada pembuat transmisi ZF sebagaimana yang diterbitkan…