Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Honda, Toshihiro Mibe dalam satu temubual oleh laman Autocar.
Jelasnya, unit penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda kini sedang meneroka idea untuk menghasilkan sebuah kereta sports elektrik penuh, dan beliau sendiri berharap agar idea itu dapat direalisasikan.
Jika idea tersebut menjadi kenyataan, ia bakal diposisikan sebagai sebuah model bertaraf mercu di dalam barisan model 0 Series yang bakal menyerang pasaran bermula tahun 2026.
Mibe turut mengakui pihak Honda sedang menganalisa pasaran kereta sports berkuasa elektrik yang ada pada ketika ini tanpa menyebut secara spesifik model yang dimaksudkan itu.
Ujarnya lagi, sebuah EV sports akan mempunyai karakteristik yang nyata berbeza berbanding mana-mana kereta prestasi tinggi Honda yang telah dilancarkan sebelum ini.
Honda menerusi divisyen mewah Acura sebelum ini telah memperlihatkan sebuah model konsep yang digelar sebagai Acura Electric Vision Concept.
Tidak seperti Saloon Concept yang muncul pada awal tahun yang lepas, Acura Electric Vision ini membawakan bentuk badan yang lebih mirip kepada sebuah supercar dengan garis badan yang tidak terlalu bersegi.
Acura walau bagaimanapun tidak menyifatkan model ini sebagai pengganti NSX.
Acura Electric Vision Concept
Sumber: Autocar