Namun, apabila ciri keselamatan semakin bertambah maju, pengeluar automotif rata-rata mahukan satu nama yang lebih sedap untuk didengari walaupun pada hakikatnya ia lebih berfungsi untuk mengelirukan pengguna.
Melihatkan kepada keadaan tersebut, Consumer Reports telah berganding bahu bersama agensi keselamatan automotif yang lain seperti AAA, JD Power, dan National Safety Council untuk membangunkan satu format penamaan yang standard, terutama kepada ciri-ciri keselamatan generasi baharu.
Walaupun pelaksanaan langkah ini bukan bersifat paksaan, agensi-agensi di atas mahukan pengeluar automotif supaya menggunakan terminologi yang lebih mesra pengguna.
Hampir 93 peratus kenderaan baharu sudah pun mula menawarkan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan amaran titik buta (BSW).
Namun, menurut kajian AAA, terdapat lebih daripada 20 nama yang didaftarkan oleh pengeluar untuk merujuk kepada satu ciri ADAS yang ditawarkan!
Seperti contoh, ciri amaran titik buta pada Honda digelar sebagai "Blind Spot Information System", pada kenderaan Toyota pula dikenali sebagai "Blind Spot Monitor", manakala pada kenderaan GM "Lane Change Alert".
Kesan daripada penggunaan nama yang berbeza, ia mampu mengelirukan pengguna yang mungkin tidak faham ciri-ciri keselamatan yang terkandung pada kenderaan baharu.
Jadi, adalah penting untuk pengeluar automotif menggunakan satu format penamaan yang standard dalam mempromosikan kenderaan mereka, sekaligus membantu pembeli dan pengguna membuat keputusan dengan lebih bijak.
Sumber: Consumer Reports