Industri automotif dunia kini semakin menarik dengan kehadiran desas-desu yang menyatakan bahawa Geely kini menaruh minat untuk mengambil alih jenama Smart dari Daimler.
Perkara ini didedahkan oleh sumber yang diperoleh daripada Financial Times menyatakan bahawa Daimler mungkin menjual 50% pegangan di dalam Smart kepada pemilik jenama Volvo dan Proton itu.
Tatkala Geely masih tidak mengesahkan kenyataan tersebut, Daimler pula menyebut mereka telah selesai mengadakan perbincangan bersama beberapa rakan kongsi untuk menghasilkan model Smart generasi baharu.
Pengumuman berkenaan kerjasama tersebut mungkin bakal mengambil tempat sebelum acara Shanghai Auto Show membuka tirainya kepada umum.
Jenama Smart (walaupun namanya sangat smart) dilaporkan tidak pernah mencapai sasaran jualan global 200,000 unit setahun, dan tambah mengecewakan apabila model Smart ForTwo hanya sekadar mencapai jumlah jualan 1,276 unit di Amerika tahun lalu.
Untuk mengembalikan semula kegemilangan Smart, bos baharu syarikat Katrin Adt dikatakan telah mempunyai perancangan besar untuk jenama tersebut.
Salah satu langkah yang diambil adalah memperkembangkan lagi penawaran model berbanding sedia ada dan menceburkan diri dalam EV.
Penglibatan Geely di dalam Smart tidaklah begitu mengejutkan memandangkan China kini merupakan pasaran terbesar EV di dunia.
Sumber: CarScoops