Dari Iriz Ke Hati - Siri 1

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Salam hormat kawan-kawan. Bertemu kita di dalam rancangan …

Cheh, skema sungguh intro. Macam rancangan memasak pula.

Baiklah, selamat datang ke siri baharu ini. Ia berkisar tentang industri, kehidupan, kisah-kisah yang saya hendak kongsi bersama anda semua yang pastinya ada kaitan dengan Proton Iriz hijau lap-lip saya.

Iriz ini adalah salah satu kenderaan yang keluarga saya gunakan. Oleh kerana saya masih muda (ehemm), belum ada lagi anak-anak yang layak memandu. Oleh kerana itu, saya dan isteri yang menggunakan Iriz ini. 

 

Alif
Anak teruna seorang, memang selalu jadi mangsa sesi fotografi saya.

 

Sebenarnya, di dalam keluarga kami, kami memang ada nama untuk setiap kenderaan kami. Bukan nak tiru orang putih, tapi sebab anak-anak sendiri yang suka. Anak-anak kami ada lima - yang sulung, perempuan, dalam Tingkatan Tiga di MRSM Pekan, yang kedua, lelaki tunggal, Tingkatan Satu di Sri Serdang dan dua orang lagi anak-anak dara cilik berumur enam dan lima tahun. 

Sebenarnya, sebelum si kenit nombor 3 dan nombor 5 itu, kami ada seorang tetapi meninggal dunia selepas berusia seminggu. Orang kampung saya panggil, simpan seorang. Tapi ya, arwah tetap wujud dalam hati kami semua.

 

mercedes W126
Ini Mercedes-Benz W126, tapi bukan saya punya. Ini saudara Haa Ford Ranger Bikin dari JB punya. Lawa kan?

 

Mulanya kisah memberi nama-nama kenderaan ini ialah bila saya membeli sebuah Mercedes-Benz 300SE W126. Kami semua memanggilnya Uncle Latif, kerana ia datang dari era penyanyi, Allahyarham Latif Ibrahim.

Trak pikap kami, namanya Abang Long kerana beliau ialah hero kami semasa misi banjir dan bila kami mahu mengangkat barang-barang beban.

Dahulu kami ada Nissan Serena S-Hybrid. Namanya, Sarinah. Melayu sangat kan? Dan kami ada Cik Kiah, iaitu Kia Grand Carnival dan satu taiko, Cik Siti - nama sebenar Toyota GT 86.

 

SYM VTS 200
Cik Simah kami warna putih ada stripe tepi dan LED di cermin sisi. Lasak, praktikal, tapi jarang diguna. Kerana itu kami lepaskan.

 

Tang motosikal, tak tau nak bagi nama tapi anak jantan ada berikan nama. Lupa pula apa namanya. Dulu ada skuter SYM VTS 200 SE, dan saya panggil dia Cik Simah. Memang saya ada saudara bernama Cik Simah di Parit Jawa, Muor.

Si Iriz ini tidak ada nama, mungkin kerana namanya sendiri sudah sedap didengar. Iriz. Teringat pula pada seorang rakan di Honda Malaysia, Iris Leong. Baik orangnya, dan teman lelaki dia laaaagi baik.

Kami suami isteri bergilir-gilir menggunakan kenderaan yang ada. Terus-terang, kebanyakan kenderaan kami ada fungsi sendiri dan ia berguna untuk tugas saya sebagai media permotoran.

Jadi apabila Iriz ini tiba di rumah, yang paling gembira ialah si isteri. Sudah lama dia idamkan kereta kompak tetapi si suami tak layan kerana tak ada yang menarik di hati. Kalau ada pun, harganya melampau dan tidak sesuai digunakan sebagai kenderaan harian. 

 

Polo GTI
VW Polo GTI memang menarik sebagai kenderaan sampingan di rumah cuma, terlalu mahal untuk dijadikan kenderaan belasahan!

 

Ya, saya memang cerewet mengenai kenderaan kerana terbiasa mengulas semua kenderaan-kenderaan di dalam negara. Lebih 20 tahun saya bekerja sebagai media permotoran - tabiat itu sukar dibuang.

Isteri saya pun sudah biasa memandu pelbagai kenderaan. Kadang-kadang saya bangun pagi dan hendak pergi ke pejabat, tercari-cari kereta uji-pandu. Kalau hilang, saya tahulah, dia sukalah kereta itu. Maknanya, saya kena memandu ke pejabat beliau dan ambil kereta uji-pandu itu.

Dia juga boleh memandu transmisi manual, automatik, lori, trektor, motosikal berklac, skuter dan juga kuda padi. Kerana itu, dengan Iriz ini, dia tiada masalah.

 

Kymco Downtown
Bila kekurangan model rider untuk sesi fotografi, orang rumah jadi mangsa!

 

Ya, Iriz “ijo” kami ini ialah varian 1.6L Premium dengan transmisi manual 5-kelajuan. Jarang jumpa kan? Sebab itu saya beli, kerana dia “rare” dan kerana kami sekeluarga perlukan sebuah kenderaan manual agar skil itu sentiasa dipraktikkan dan diperhalusi.

Sudah lebih dua bulan Iriz hijau itu bersama keluarga kami, dan menipulah jika saya kata ia tidak ada masalah. Cuma masalahnya diakibatkan oleh dua perkara. Ia adalah unit terpakai - 11,000 km dan digunakan oleh rakan-rakan media sebagai kenderaan uji-pandu. Jadi adalah yang rosak sedikit akibat “wear and tear” tapi sebenarnya tak ada apa pun - cuma getah alur bumbung tertanggal dan telah diganti balik.

Masalah kedua ialah yang paling memeningkan kepada saya selama seminggu. Tetapi nak marah Proton pun, tak boleh kerana yang salah ialah kami - kami tak tahu prosedur untuk hidupkan enjin Iriz ini!

 

Proton iriz start button

 

Kerana ia varian Premium, ia datang dengan sistem “keyless”. Tak perlu kunci untuk buka pintu, hidupkan penggera atau hidupkan enjin. Tetapi jika di dalam kenderaan dengan transmisi automatik, kita cuma tekan brek dan butang Start.

Untuk manual, caranya lain sedikit. Selepas ditunjuk ajar caranya, baharulah kami faham dan sekarang, tak pernah ada isu langsung. Cuma jika saya hantar dicuci, dalam setengah jam sahih adik di kedai spa kereta itu akan datang mencari saya di mamak sebelah. 

“Abang, kereta abang tak nak hidup lah!” ujarnya. Saya tersengih dan memang saya tak akan ajar. Ini sudah menjadi seperti alat keselamatan pula! 

Sebenarnya, ada masalah ketiga dengan Iriz ini. 

Masalah ketiga ialah saya jarang dapat gunakannya kerana isteri saya sudah jadikan ia kenderaan rasminya. Bila kita kata nak pinjam Iriz, dia mula buat uka macam dah setahun tak mencekik gula.

Kenapa dia suka Iriz walhal ada kenderaan lain untuknya? 

Ah, tunggu episod seterusnya! 

 

new and old iriz