Dari Iriz Ke Hati: Siri 3 - Siapa pemilik Saga pertama dalam keluarga anda?

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Selamat menyambut hari kemerdekaan dan bila kita sebut pasal merdeka, pastinya nama syarikat kenderaan nasional kita, Proton akan terkait.

Tak apa, saya tidak mahu bercerita bagaimana Proton memerdekakan kita dari segi industri dan sebagainya kerana hari ini hari cuti awam, jangan kusutkan minda.

Kita bercerita tentang pemilik pertama kenderaan Proton di dalam keluarga anda.

IRIS HIJau 1
Proton Iriz ini ialah Proton keempat saya. 

 

Di dalam keluarga saya, memang ada ramai peminat kereta. 

Adik saya seorang itu memang hantu BMW. Dulu diesel, sekarang dia pandu 135i. Ya, itu lebih kepada enjin beroda dari sebuah kereta kerana enjinnya tidak padan dengan kereta. 

Dia juga antara yang suka tukar tayar (cepat benar botak tayar-tayar beliau) dan juga pengumpul saman.

Adik ketiga pula suka basuh kereta. Kena habuk sikit, habis dicuci. Dia tidak suka modifikasi ekstrem; lebih kepada clean and simple. Jadi janganlah cuba untuk menjual lampu neon spoiler sangkut baju pelbagai ke dia. Haram dia tak minat.

Adik bongsu saya perempuan. Dahulu, dia pakai Gen2 CPS, manual. Dia kata, apa barang pandu automatik. Tak jantan.

Sekarang, suami dia berikan kereta automatik, dan setiap hari dia mengantuk kerana bosan tiada klac untuk ditekan.

Dia juga sama dengan yang nombor dua - ada koleksi saman.

Untuk keluarga besar pula, saya memang ada ahli keluarga yang minat akan kenderaan.

Antara insan pertama yang membuatkan saya berminat dengan kereta, selain dari arwah abah, ialah pakcik saya, Tuan Haji Azmi Abdullah, bekas jurutera Petronas (gambar di bawah).

Uncle Mie

 

Uncle Mie ialah panggilan kami kepada beliau, dan beliau sedang menunaikan haji sekarang ini bersama isterinya, Auntie Faridah Baba.

Uncle Mie ni, istimewa sedikit. 

Datuk Seri Syed Zainal Abidin, bekas CEO Proton dan kini Naib Presiden Pemasaran Petronas pun kenal dengan Uncle Mie kerana pakcik saya itu pernah menjadi boss beliau.

Anak seorang guru sekolah (atok sayalah) dari Parit Lapis Darat, Parit Jawa, Muar, Johor, pakcik saya belajar gigih dan akhirnya diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran beliau di UK.

Di Petronas, beliau akhirnya dapat bekerja di dalam bidang kegemaran beliau - automotif. 

Saya masih ingat bila kami melawat beliau di Rantau Petronas, Kerteh, beliau sedang menggantikan brake pad Ford Laser S beliau. Tukar sendiri di rumah ya.

Petronas Enjin

Beliau pernah ditugaskan di Switzerland untuk projek enjin Petronas dan beliau juga pernah menjaga fasiliti R&D automotif Petronas di Bangi. 

Sekarang, beliau adalah salah satu dari juri hakim untuk acara Malaysia Automotive  Institute, iaitu Car of The Year.

Dulu semasa muda, beliau memang meminati jenama Ford. Dari Ford Laser ke Ford TX5 Telstar dan kemudian ke Ford Spectron. 

Sekarang, beliau lebih ke arah jenama bintang - Mercedes-Benz.

Tapi Uncle Mie bukan pemilik Proton pertama dalam keluarga kami ya. 

Gelaran Pemilik Proton Pertama dalam keluarga besar kami ini (mak saya ada berbelas-belas adik beradik dan saya ada berpuluh-puluh sepupu sepipi) jatuh kepada Uncle Yan saya.

Uncle yan

 

Nama penuh beliau, Azizan Maarof (gambar di atas). Geng-geng Staroba pasti terkejut bukan? Uncle Yan ini sangat aktif di dalam Staroba dan hampir semua kereta beliau ada pelekat Staroba.

Nasib baik tiang letrik depan rumah dia tak ada logo Staroba.

Saya masih ingat pada suatu masa dahulu, semua orang macam tak sabar tunggu Uncle Yan dan isteri beliau, iaitu adik kepada mak saya, Auntie Dek (nama betul dia ialah Normala Abdullah), sampai ke rumah atok di Parit Jawa.

Rupanya, Uncle Yan beli Proton Saga dan pada masa itu Proton baharu sahaja melancarkan Saga.

Saga biru beliau memang kami kerumun. Pada masa itu, takjub kami melihat papan pemuka warna biru, paparan meter yang ringkas dan cantik serta nampak modern, balutan kerusi dari fabrik biru bagai baldu dan logo Proton yang bercahaya di waktu malam.

Glamour!

Uncle Yan saya ini memang kaki pecut. Dia memang bawa laju, dan kerana itu beliau berminat dengan kereta. Tak silap saya, Saga biru beliau pernah bertembung dengan lembu tetapi Alhamdulillah, beliau tidak cedera. Lembu itu pulak kami tak pasti.

Sekarang, Uncle Yan ada Mercedes-Benz dan BMW, dan Honda tetapi tetap ada sebuah Proton, Persona generasi pertama.

Untuk sepupu-sepupu generasi kami, Uncle Yan dan Proton Saga memang sinonim. Walaupun beliau garang, tetapi kami tak pernah takut kepada beliau kerana garang beliau bertempat. Dia mahu kami maju - dan setahu saya, dialah yang pertama dalam keluarga kami yang mula berniaga.

Saya rasa efek beliau dalam hidup saya pun wujud kerana dalam keluarga saya, saya seorang yang ada sifat entrepreneur. 

Oleh kerana itu, sempena merdeka ini, siapakan yang menjadi pemilik pertama sebuah Proton di dalam keluarga anda ya?

 

ROK

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beberapa bulan yang lalu, Proton telah pun melancarkan kemaskini terhadap penawaran model kembar…
Berita Domestik
  Kejayaan ini bermakna Proton telah melangkaui prestasi Jumlah Jualan Industri (TIV) bagi pasaran…
Berita Domestik
Setelah kita puas melihat rupa sebenar Iriz Active yang tidak seperti model konsep yang…