Dua maut, seorang parah kereta terbabas

oleh Hamimah Hamid|
DUA lelaki maut manakala seorang parah apabila kereta dinaiki mereka terbabas melanggar tiang lampu di Jalan Kuala Kangsar awal pagi tadi.

Dalam nahas pukul 2.15 pagi itu, dua lelaki berumur 32 dan 36 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang yang parah berumur 31 tahun dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Waja yang dipandu mangsa maut berusia 32 melalui jalan Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.

 

Menurutnya, kereta berkenaan bagaimanapun hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar tiang lampu jalan di pembahagi tengah jalan.

 

"Akibat impak perlanggaran, tiang lampu jalan patah melintang di laluan menghala ke Sungai Siput dan ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kereta. 

 

"Punca kemalangan adalah akibat kereta itu terbabas sendiri. Keadaan sekitar ketika kejadian adalah jalan lurus, sehala, dan tiga lorong selain keadaan cuaca baik," katanya.

 

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Mahir Mat Saad itu tamat pada jam 4.30 pagi.