Panigale V4 R adalah motosikal berprestasi tinggi Ducati yang disesuaikan untuk kegunaan jalan raya. Ia adalah motosikal Ducati paling berkuasa dan berprestasi tinggi setakat ini.
Panigale V4 R mempunyai kuasa 221 hp pada 15,250 rpm dari enjin 998 cc Desmosedici Stradale R.
Ada lagi yang lebih berkuasa iaitu 234 hp pada 15,000 rpm dari pakej Ducati Performance dengan ekzos perlumbaan Akrapovič.
Enjin tersebut sebenarnya dibangunkan untuk bersaing di dalam perlumbaan WSBK.
Set LEGO Panigale V4 R ini nampak realistik dan seronok untuk dipasang dengan perincian komponen seperti suspensi, roda, blok enjin dan pelbagai komponen.
Set ini juga adalah model motosikal pertama dalam siri LEGO® Technic™ yang mempunyai kotak gear bagi simulasi perbezaan gear dan gaya tunggangan.
Berikut ialah 'spesifikasi' LEGO® Technic™ Ducati Panigale V4 R:
- Direka untuk usia 10 tahun ke atas
- Mempunyai 646 kepingan
- Panjang 32 cm, tinggi 16 cm dan 8 cm lebar
- Komponen seakan motosikal sebenar iaitu tongkat, batang ekzos, cermin depan dan panel meter
- Handle dan suspensi yang berfungsi ala gerakan sebenar
- Warna merah identiti ikonik Ducati
Kepada yang berkenan, set LEGO® Technic™ Ducati Panigale V4 R boleh didapati dari pengedar Ducati, kedai dalam talian Ducati dan premis fizikal dan dalam talian LEGO.
Set itu mula dijual pada 1 Jun 2020 dengan harga 59.99 Euro atau bersamaan RM285.
Untuk mereka yang berkenan dengan set sebenar Ducati Panigale V4 R pula, ia dijual di negara kita pada harga sekitar RM300,000.
Penulis: Muhammad Md Tajudin