Beliau yang kini mengusahakan bengkel kereta di Seremban 2, berkata pandemik COVID-19 mengubah kariernya. "Saya terpaksa akur diberhentikan kerana industri terkesan dengan kes COVID-19 selepas empat tahun bekerja di Singapura.
"Seramai 170 rakyat negara ini yang bekerja di syarikat itu diberhentikan dan terpaksa memilih haluan kerja baharu. Saya nekad menggunakan wang pampasan kerja dengan membuka bengkel kereta ini," katanya ketika ditemui di Seremban.
Muhammad Asri berkata, bagaimanapun beliau terpaksa mencari pengalaman terlebih dahulu dengan bekerja selama dua bulan di sebuah bengkel kereta milik rakannya di Senawang. Beliau yang juga pemegang Diploma Penyelenggaraan Pesawat dari institusi tempatan berkata, membaiki enjin pesawat tidak sama dengan enjin kereta.
"Enjin pesawat lebih rumit kerana sistemnya lebih kompleks dan siapa yang ada kelayakan sahaja boleh membaikinya.
"Enjin kereta lebih mudah. Hanya belajar sendiri secara praktikal, kita sudah boleh melakukannya," katanya yang membuka bengkel kereta itu sejak awal bulan lalu.
Beliau pernah cuba mencari pekerjaan lain tetapi sukar dalam keadaan ketika ini dan pernah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk dengan syarikat jualan langsung.
Katanya, hasil sokongan kedua-dua ibu bapa serta ahli keluarga, beliau berharap pembukaan bengkel kereta itu jalan terbaik meneruskan kepakarannya dalam kejuruteraan.
"Pembabitan anak muda Melayu dalam bidang ini masih terbatas berbanding bangsa lain walaupun sektor ini menjanjikan pendapatan yang baik.
"Walaupun mencabar dan terpaksa bersaing, saya berharap dapat menimba pengalaman dalam bidang ini dan menjayakan hasrat mewujudkan lebih ramai usahawan muda Melayu," katanya.