Ujian tersebut dikenali sebagai low-mu testing dan dibuat bagi menilai bagaimana rangkaian kuasa elektrik melaras penghantaran kuasa kepada roda pada permukaan dengan cengkaman rendah.
Para jurutera Ford memandu enam buah F-150 Lightning versi pra pengeluaran di atas pelbagai permukaan seperti salji membasah dan lepas (loose snow), salji padat berbekas (packed-groomed snow), ais, separa ais keras dan sebagainya pada suhu membeku.
F-150 Lightning mampu mengesan gelinciran roda dan melaras kuasa kepada roda dalam tempoh milisaat hasil daripada respon pantas rangkaian kuasa elektrik.
Berikut adalah ciri-ciri dan fungsi pada F-150 Lightning:
- Standard dengan dua motor, depan dan belakang.
- Sentiasa dalam mod 4x4.
- Penghantaran daya kilas yang pantas.
- Standard dengan penguncian pembeza belakang (locking rear differential).
- Mod pemanduan boleh pilih.
- Pusat graviti rendah untuk pengendalian yang lebih meyakinkan.
Menurut jurutera rangkaian kuasa F-150 Lightning, Nick Harris, karakter pikap elektrik itu di dalam salji sangat berbeza berbanding kenderaan janaan bahan bakar.
Respon F-150 Lightning sangat cepat dan dua motor elektrik ibarat dua buah enjin yang menghamburkan kuasa dalam satu kenderaan.
Ini boleh dijangka memandangkan motor elektrik mempunyai daya kilas tinggi dengan pecutan serta merta.
Sesi ujian membolehkan jurutera F-150 Lightning membuat kalibrasi dalam masa sebenar.
Kebanyakan tugas para jurutera melibatkan koordinasi dua motor elektrik supaya saling bekerja bagi menghantar daya kilas ke jalanan agar pemilik yang memandu di atas permukaan salji dan ais merasa yakin.
Selain Alaska, kakitangan bahagian rangkaian kuasa F-150 Lightning turut melaksanakan ujian low-mu di lokasi lain seperti Upper Peninsula dan medan ujian Ford di Michigan, Borrego Springs dan Johnson Valley.
Penulis: Muhammad Md Tajudin