Gas bocor, api rokok punca sebuah Toyota Vios 'meletup'

oleh Mohamad Hanif|
GARA-GARA membawa tong gas petroleum cecair (LPG) yang bocor, seorang lelaki melecur apabila keretanya ‘meletup’ selepas dia menghidupkan pemetik api untuk merokok dalam kejadian di Jalan Subang Mas, Taman Pinggiran USJ 1, Subang Jaya, Jumaat minggu lalu.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa berusia 48 tahun melecur pada kedua-dua belah tangan serta muka manakala kereta Toyota Viosnya mengalami kerosakan teruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata mangsa dipercayai tidak menyedari berlaku kebocoran pada tong gas memasak yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan itu.
 


"Apabila kereta itu sampai di sebuah persimpangan lampu isyarat, mangsa membuka cermin dan menghidupkan rokok dengan menggunakan pemetik api.

“Ruang dalam kereta ketika itu sudah dipenuhi dengan gas LPG yang bocor dan api daripada pemetik api mencetuskan letupan dalam kenderaannya, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku dalam kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Katanya, pihaknya yang menerima laporan pada 4.46 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota untuk kerja menyelamat.

Beberapa gambar kejadian itu mula viral di media sosial sejak semalam dan mengundang tanda tanya netizen berhubung punca sebenar insiden itu.
 


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily ketika mengesahkan kejadian itu memaklumkan mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.

“Punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.

“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sumber: Harian Metro
Sumber gambar: Roda Pena