Go Auto dan SIRIM meterai kerjasama strategik

oleh SALINA JALIL|
Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd (GAM), satu cabang pembuatan Go Auto Group of Companies dan SIRIM Berhad, sebuah agensi penyelidikan dan teknologi utama negara di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama strategik jangka panjang antara kedua-dua pihak.

MoU ini ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Go Auto Group, YBhg Dato’ SM Azli SM Nasimuddin Kamal bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, YBhg Prof Ir Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani.

Majlis menandatangani turut disaksikan oleh En Wan Ahmad Wan Omar, Pengarah Eksekutif Go Auto Group dan Ir. Dr. Mohamad Jamil Bin Sulaiman, Naib Presiden Penyelidikan Perindustrian SIRIM dari SIRIM Berhad.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kerjasama strategik ini merangkumi empat bidang utama iaitu pembangunan dan peningkatan produk, teknologi, tenaga manusia dan pasaran atau industri. Melalui usahasama ini, ia membolehkan GAM memperoleh akses kepada kemudahan penyelidikan SIRIM. Manakala kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam kepakaran teknikal, pemindahan teknologi dan latihan teknikal bagi melaksanakan projek atau produk di bawah perkongsian ini.

 

“Go Auto amat teruja dengan kerjasama bersama SIRIM ini, suatu badan yang berpengalaman dan berkepakaran lebih 40 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi negara. Kelebihan mereka dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, selain memastikan standard dan kualiti industri menjadikan
mereka rakan kongsi yang baik untuk syarikat kami. Kami mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia dapat memberi kita peluang menggunakan kepakaran masing-masing yang mampu memberikan impak maksimum kepada kedua belah pihak,” kata Dato’ Azli.

 

“Pengilangan kami dapat memenuhi keperluan pengawalseliaan dan pasaran dan secara tidak langsung membolehkan kami mengurangkan pengeluaran dan kos R & D. Kerjasama ini juga sejajar dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) iaitu untuk menghasilkan produk yang memenuhi piawaian dan keperluan antarabangsa. SIRIM mempunyai rekod prestasi yang membolehkan produk dan perkhidmatan Malaysia mencapai pengiktirafan di seluruh dunia dari segi kualiti dan inovasi,” kata Dato Azli lagi.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Ir Dr Ahmad Fadzil berkata, SIRIM berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui industri Malaysia ke Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0)

 

"SIRIM menyambut baik perkongsian bersama Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd untuk terus membantu menghubungkan teknologi kenderaan dan mengubah pengalaman pemanduan di Malaysia,” katanya.

 

Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan dan penambahbaikan keupayaan dan kapasiti bateri cas semula berasaskan lithium ion untuk menggantikan bateri asid plumbum di pasaran automotif; pembangunan teknologi kenderaan hijau termasuk bateri untuk basikal dan motosikal serta pembangunan bateri sodium ion sebagai alternatif kepada bateri lithium ion. Bidang usahasama lain termasuk Prototaip Pantas (Rapid Prototyping) dan percetakan 3D untuk pelajar TVET MARA, dan kemudahan Pengesahan Kelulusan Jenis Kenderaan (Vehicle Type Approval Testing) untuk e-mobiliti seperti yang dimandatkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya.

 

“Kerjasama ini tepat pada masanya sebagai inisiatif menyokong aspirasi dan usaha kerajaan dalam mengubah perniagaan Malaysia untuk menghadapi cabaran Industri 4.0. Kami berazam untuk memanfaatkan Program Pembangunan PKS SIRIM dan Industri 4.0 dalam bidang Additive Manufacturing,
Artificial Intelligence, Smart Manufacturing dan peranti Internet of Things (IOT)," kata Prof Ir Dr Ahmad Fadzil.

 

Rasionalisasi kolaborasi ini dijangka selesai dalam tempoh dua tahun selepas pemeteraian MoU.

Tags

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Kilang tersebut juga dikhususkan kepada pembuatan dan pemasangan NEV termasuk kenderaan elektrik (…
Berita Domestik
Usaha sama pertama dengan Go Auto adalah untuk mengimport kenderaan elektrik di bawah jenama Neta,…
Model Terbaharu
Dari segi ukuran, Higer Ace E1 membawakan dimensi sepanjang 5.4 meter (5,380 mm), lebar 1,880 mm,…