Dari segi ukuran, Higer Ace E1 membawakan dimensi sepanjang 5.4 meter (5,380 mm), lebar 1,880 mm, tinggi 2,335 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm.
Terdapat dua versi yang ditawarkan, iaitu van penumpang dengan 15 tempat duduk pada satu-satu masa dan juga van kargo.
Spesifikasi kuasa motor elektrik tidak didedahkan, namun pek bateri berkapasiti 70 kWh membolehkan van elektrik ini bergerak sejauh 300 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
Dengan pengecasan pantas DC 60 kW, pek bateri lithium-ion (disumberkan daripada CATL) tersebut boleh dicas penuh dalam masa 75 minit sahaja.
Antara ciri lain termasuklah rim aloi bersaiz 16 inci dengan balutan tayar 215/75, skrin infohibur Android bersaiz lapan inci, serta kamera undur.
Go Auto-Higer Ace E1 dijual pada harga bermula dari RM268,888, di mana setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengilang selama lima tahun (atau 150,000 km yang mana tiba dahulu), jaminan bateri lima tahun (atau 200,000 km yang mana tiba dahulu), serta pengecas mudah alih 7kW secara percuma.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan pihak pertama yang menerima van elektrik ini pada tahun lalu, disusuli dengan empat lagi unit baharu pada tahun ini.
Pihak GVT turut menyerahkan dua unit van elektrik ini kepada Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Menurut Pengarah Eksekutif GVT Sdn Bhd, Wan Ahmad Wan Omar berkata, "saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi dan melanjutkan insentif pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (CKD sehingga 2027, CBU sehingga 2025).
"Ini bakal merancakkan lagi segmen kenderaan elektrik di Malaysia, dalam usaha bangkit semula bagi fasa pasca COVID-19.
Untuk makluman, GVT kini mempunyai sehingga 88 rangkaian servis selepas jualan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.