Persefahaman dua syarikat itu bakal menghasilkan motosikal elektrik di bawah nama Electrum dan akan membabitkan proses mempakej bateri, pembinaan infrastruktur boleh silih bateri (battery swapping) serta yang paling penting, skim pembiayaan untuk memiliki sebuah motosikal EV.
Beberapa minggu lalu, Gojek telah mengumumkan akan memulakan program rintis EV di Jakarta dengan menggunakan skuter elektrik Gogoro dari Taiwan. Program rintis yang bakal bermula beberapa bulan lagi akan dimulakan dengan 250 unit skuter Gogoro dengan empat stesen boleh silih bateri.
Perancangan masa hadapan ialah menambahkan jumlah skuter itu kepada 5,000 unit dengan penambahan stesen bateri.
April lalu, Gojek mengumumkan ia akan mencapai penghasilan karbon sifar menjelang 2030, dan ia akan menukarkan dua juta kenderaan 4-roda dan 2-rodanya kepada kenderaan elektrik.
*Gambar utama dari AFP / BAY ISMOYO