Guna lori tangki air seleweng diesel bersubsidi

oleh Hamimah Hamid|
TAKTIK sebuah syarikat menyeleweng diesel bersubsidi menggunakan lori tangki air di Ipoh terbongkar selepas Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah stor di Taman Pertama, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamed Aznanshah Khalid berkata, serbuan di sebuah stor di dalam kawasan penyelenggaraan bahan binaan tanpa nombor di taman perumahan itu dilakukan kira-kira jam 1 tengah hari.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat daripada orang awam serta risikan yang dijalankan selama seminggu di sekitar Ipoh.

 

"Modus operandi sindiket ini dengan cara membeli minyak diesel dengan harga subsidi melalui tangki asal lori tangki air secara berulang-ulang iaitu sekitar 8 hingga 10 kali dengan anggaran 2,000 liter sehari di beberapa stesen minyak sekitar Ipoh.

 

"Mereka cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan lori tangki air ini dan kemudiannya memindahkankan minyak diesel dalam tangki asal lori tersebut ke tangki simpanan lain dan dikumpulkan di kawasan stor tersebut," katanya. 

 

Mohamed Aznanshah berkata, hasil pemeriksaan ketika serbuan mendapati sebanyak 2,400 liter cecair disyaki minyak diesel ditemui disimpan di premis berkenaan selain sebuah pam penyedut minyak dan sebuah lori yang digunakan untuk membeli minyak diesel turut berada di situ.

 

Katanya, semua barangan tersebut disita untuk tindakan lanjut manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM87,960.