Honda Civic generasi ke-11 dilancarkan - kembali ke falsafah 'Man Maximum/Machine Minimum'

oleh Mohamad Hanif|
Generasi kesebelas Honda Civic telah pun rasmi dilancarkan di peringkat global dengan membawakan perubahan yang agak ketara dari segi rekaan, di mana Honda cuba mengembalikan falsafah rekaan Civic era 70-an iaitu Man Maximum/Machine Minimum.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Disebabkan itu, rekaan badan Civic ini menjadi semakin ringkas dan dalam masa yang sama Honda cuba membawakan elemen premium pada sedan segmen C ini.

Antara perkara yang diubah adalah posisi cermin hadapan (atau tiang A) dialihkan ke belakang sebanyak 2 inci bagi menimbulkan ilusi bonet hadapan yang lebih panjang dan memberikan perkadaran yang lebih klasik.

 


Dalam masa yang sama, garis bahu sengaja dibiarkan lebih menonjol menghubungkan antara seksyen hadapan dan belakang kereta terus ke unit lampu belakang.

Honda turut menyatakan Civic baharu ini memiliki jarak trek belakang yang lebih lebar, dan ia diperlihatkan menerusi set lampu LED yang  lebar dan rekaan bahu belakang yang menjadikan bahagian tersebut tampak lebih sporti dan lebih aerodinamik.

Perubahan dimensi ini bukan sahaja menjadikan penampilan Civic lebih gagah, akan tetapi menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Dari aspek casis, Honda telah menggunakan bahan seperti aluminium dan keluli berkekuatan tinggi di mana ia menjadikan tahap kekakuan kilasan meningkat lapan peratus, dan ketegaran lenturan sebanyak 13 peratus bagi memberikan manfaat kepada keselesaan, pengendalian dan juga keselamatan.

 


Disebalik penggunaan bahan yang lebih kuat, Honda berjaya meminimumkan penambahan kepada berat keseluruhan Civic 2022 ini.

Selain daripada itu, beberapa penambahbaikan dilakukan seperti penggunaan galas roda geseran rendah bagi mengurangkan rintangan golekan, stereng berkuasa elektrik yang ditala semula untuk input yang lebih baik, serta bushing pada lengan bawah belakang untuk kestabilan di jalan lurus.

Ruang kabin pula menawarkan rekaan yang lebih ringkas pada bahagian papan pemuka, menempatkan skrin digital penuh kluster instrumen 10.2 inci, serta sistem infotainmen bersaiz tujuh inci secara standard atau sembilan inci yang turut menyokong sambungan tanpa wayar Apple CarPlay dan Android Auto.

Sistem pengecasan nirwayar Qi juga turut terdapat pada Civic generasi baharu ini.

 


Tatkala kereta-kereta moden sudah mula beralih kepada kawalan berasaskan sentuhan, Civic masih lagi mengekalkan ciri kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan sistem bunyi, serta 'tempat perehat jari' 0.8 inci pada bahagian bawah skrin sentuh tengah untuk memudahkan kegunaan.

Pemilihan bahan untuk membaluti papan pemuka telah dibuat dengan berhati-hati supaya tidak menampakkan kesan cap jari, selain menawarkan pengalaman sentuhan yang lebih premium.

Ia disudahi dengan kemasan berbentuk sarang lebah yang melindungi kehadiran corong pendingin hawa yang direka merentasi dimensi papan pemuka itu.

Dari sudut pandang pemandu, Honda nampaknya telah berjaya menjadikan tahap penglihatan ke luar semakin baik, dimulakan dengan rekaan papan pemuka yang memaksimumkan medan penglihatan dan mengurangkan rekflesi pada cermin hadapan, manakala posisi cermin sisi pula dijauhkan daripada tiang A untuk mengurangkan kesan titik buta.

 


Kembali kepada aspek kuasa, Honda Civic masih lagi mengekalkan dua penawaran enjin, iaitu enjin 2.0 liter aspirasi natural (158 hp/187 Nm) dan enjin turbo 1.5 liter seperti generasi terdahulu.

Namun, enjin turbo itu telah ditala semula supaya mampu menghamburkan 180 kuasa kuda dan 240 Nm, peningkatan sebanyak 6 hp dan 20 Nm berbanding Civic FC, sementara transmisi CVT telah mendapat talaan bagi menawarkan penukaran gear yang lebih menyamai transmisi konvensional.

Malah, dalam situasi di mana anda sedang menekan brek untuk berhenti, transmisi CVT ini diprogramkan untuk menurunkan gear kepada yang lebih rendah.

Ciri keselamatan Honda Sensing yang menjadi identiti Honda telah dipertingkatkan dengan unit kamera baharu yang menawarkan tahap penglihatan yang lebih lebar, serta perisian baharu yang mampu mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan lain dengan lebih pantas.

Sementara ciri kawalan jelajah adaptif pula dipertingkatkan dengan kadar reaksi yang lebih pantas serta perasaan pengendalian dan brek yang lebih natural.

 


Civic 2022 sedan bakal menyerang pasaran menjelang musim panas ini, dan untuk pasaran Malaysia anda bernasib baik kerana ia dijadualkan mendarat menjelang akhir tahun ini.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Menyusahkan oranglah engkau ni. Sebab kau bodoh la kau kerja tol. Buka! Buka! Kalau pandai kau tak…
Berita Domestik
Beliau berkata, video tersebut memaparkan sebuah kereta jenis Honda Civic merempuh sebuah motosikal…
Berita Domestik
Beliau berkata, video itu memaparkan seorang anggota polis trafik cuba memberhentikan kereta jenis…