Honda CR-V 2017 - kembali gemilang (harga dari RM142,400)

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Honda Malaysia hari ini telah melancarkan model CR-V versi terkini.

CR-V 2017  dilancarkan di Kuala Lumpur dan Honda yakin ia akan mengembalikan semula CR-V sebagai SUV nombor satu Malaysia.

ia juga hadir dalam empat varian - 

  • 2.0L 2WD (RM142,400)
  • 1.5TC 2WD (RM155,700)
  • 1.5TC 4WD (RM161,600)
  • 1.5TC-P 2WD - Premium (RM167,700)

Generasi kelima ini dikatakan bakal mengembalikan zaman kegemilangan SUV untuk Honda Malaysia dan untuk memastikan ia berlaku, pelbagai keistimewaan dihamburkan kepada CR-V baharu ini.

Sama-sama kita pelajari apa dia yang menarik dengan CR-V baharu ini.

  • Varian CR-V untuk Malaysia mempunyai lima tempat duduk, berbanding tujuh untuk pasaran Thailand dan Indonesia. Menurut tinjaun pasaran yang dilakukan, pasaran Malaysia lebih mahukan ruang tempat duduk yang luas dan selesa kerana kebanyakan pemilik sudah mempunyai MPV 7-tempat duduk.
  • CR-V baharu menggunakan platform 100 peratus baharu, dan ia mempunyai jarak roda lebih panjang. Badannya juga lebih lebar, lebih tinggi dan lebih panjang.
crv dimension

 

  • Panel meter ialah dari jenis skrin LCD berwarna, dan ia bukan sahaja nampak premium, tetapi mampu memberikan pelbagai informasi mengenai kenderaan, termasuk sistem 4WD baharu pada SUV modern ini.
  • Konsep utama CR-V baharu ialah Wow, Dynamic dan Sophisticated. Kerana itu, dari bahagian luaran, lampu-lampu DRL dan LED diberikan. Di bahagian dalam, pendekatan Man Maximum Machine Minimum diwujudkan agar penumpang rasa lebih selesa dan diutamakan.
  • Honda memperkenalkan perkataan baharu dengan CR-V ini - BEAUTILITY. Ia adalah gabungan Beautiful dan Utility. Sejarah CR-V membuktikan bahawa kecantikan rekabentuk sangat utama (beautiful) dan CR-V juga sangat praktikal (utility).
  • Papan pemuka atau dashboard CR-V ini berkongsi konsep dengan papan pemuka Civic baharu tetapi ia lebih matang dan lebih sesuai untuk mereka yang sibuk kerana ada banyak ruang simpanan barang serta port USB.
  • Ada empat port untuk USB - dua di hadapan dan dua di belakang (khas untuk mengecas sahaja).

 

handbag
  • Konsol tengah CR-V ini mampu diubah kedudukan rak di dalamnya agar kaum wanita atau lelaki metrosexual boleh menyimpan beg tangan mereka di dalam konsol itu. Ini baik untuk keselamatan kerana beg tangan tidak dapat dicapai jika ada bajingan yang memecah tingkap untuk merompak di lampu isyarat.
  • Menurut Daigo Ito, jurutera Honda Jepun yang bertanggung-jawab dalam rekabentuk dan pembangunan bahagian kabin CR-V ini, pelbagai pembaharuan dilakukan untuk meningkatkan mutu premium SUV popular itu. Antaranya, teknik "quilting" untuk tempat duduk lapisan kulit yang memang nampak modern dan mewah.
Daigo
  • Juga panel-panel pintu dengan kemasan kayu atau aloi yang memang nampak cantik dan mahal, walaupun kita tahu ia plastik. Mungkin kerana sentuhan matte atau cat mati pada kemasan itu yang membuatkan ia tampak mahal.
  • Untuk memastikan kabin lebih senyap, teknologi canggih ANC atau Active Noise Control digunakan. Apa yang berlaku ialah sebuah mikrofon diletakan di dalam kabin untuk "mendengar" kadar bunyi bising dan mengkaji gelombang bunyi bising itu. Sistem komputer kemudian meghasilkan gelombang yang sama dengan menggunakan speaker, tetapi dalam keadaan songsang untuk "membatalkan" bunyi bising itu. Teknologi ini hanya wujud untuk kenderaan premium Jerman suatu masa dahulu tetapi Honda telah membawanya masuk untuk kegunaan pengguna biasa.
  • Juga ada ialah pemegang atau "mounting" enjin jenis hidraulik untuk mengurangkan gegaran sampai ke kabin, penebat bunyi lebih padat dan lebih banyak serta getah pintu yang lebih menyeluruh.
  • CR-V ini kembali ke zaman generasi pertama SUV itu, di mana jika anda perasan, Honda sebenarnya telah menurunkan ruang lega bumi CR-V ini sejak generasi kedua dan semakin rendah sehingga generasi keempat. CR-V generasi kelima ini kembali mempunyai ruang lega bumi setinggi 208 mm (generasi ketiga dan keempat mempunyai lega bumi lebih rendah - 170 ke 185 mm).
  • Ruang tempat barang pula ialah sebesar 520 liter, dan jika barisan kedua dibaringkan, ia membesar kepada 1,830 liter.
rear boot
  • Pintu but belakang menggunakan sistem elektrik dan boleh diprogram ketinggian ia dibuka supaya tidak ada lagi kes pemilik yang kekurangan inci melompat-lompat untuk mencapai butang penutup but bila pintu terbuka secara maksimum.
  • Tayar simpanan berada di dalam tempat barang dan bersaiz penuh. Sayang sekali kerana masih ada rakyat Malaysia yang mahukan tayar simpanan yang besar dan berat kerana percaya bila tayar pancit, mereka memerlukan 12 bulan untuk menggantikannya. Tayar simpanan bersaiz kecil yang sementara itu mampu memberikan penjimatan bahan api yang baik, pecutan kenderaan yang lebih pantas dan kelajuan yang lebih tinggi kerana tayar simpanan bersaiz kecil atau space-saver itu lebih RINGAN.
  • Dua enjin ditawarkan - enjin 2.0L SOHC i-VTEC bukan turbo dan enjin 1.5L DOHC Direct Injection Turbo. Transmisi yang digunakan ialah CVT automatik dengan G-Shift Control.
  • Enjin 2.0L SOHC iVTEC sama dengan generasi terdahulu dan menghasilkan 154 PS dan 189 Nm. Ia hanya untuk varian paling mampu milik.
  • Enjin 1.5L Turbo pula sama dengan yang ada pada Honda Civic, tetapi untuk CR-V, penekanan ialah lebih kepada kadar tork yang lebih praktikal kerana ia lebih berat. Bilah turbine turut dikurangkan dari 11 bilah (pada Civic) ke 9 untuk kadar boost yang lebih tinggi. Ia menghasilkan 193 PS dan 243 Nm.
  • Jumlah penggunaan bahan api untuk 2.0L tanpa turbo ialah 7.3L/100 km dan untuk enjin 1.5L turbo, cuma 7.0L/100km.
  • Honda Malaysia berkata unit pengecas turbo itu akan tahan selama hayat CR-V ini. 
  • Sama seperti Civic Turbo, sistem komputer pada CR-V akan memberitahu pemilik bila ia perlu diservis. Untuk varian turbo, sela jarak servis bergantung kepada jarak perbatuan DAN cara pemanduan (kadar RPM enjin). Semakin rajin kaki kanan menekan, semakin laju duit keluar untuk servis kenderaan.
4wd crv
  • Varian AWD menerima sistem 4X4 yang lebih mantap - lengkap dengan klac pada differential belakang yang menggunakan pam hidraulik yang dikawal menggunakan komputer (terdahulu, ia adalah dari jenis mekanikal).
  • Sistem AWD baharu masih lagi dari jenis Real Time AWD, iaitu ia sentiasa berfungsi dan akan menyalurkan tenaga ke roda belakang bila perlu. 
  • Sistem baharu ini juga meningkatkan kadar tork ke roda belakang 10 peratus lebih tinggi dari jenis lama. 
  • Kawalan komputer untuk klac differential belakang membolehkan CR-V ini menyalurkan tenaga ke roda belakang untuk membatalkan kejadian "understeer" bila ia terjadi. Jika menggunakan sistem mekanikal yang lama, ini memang tidak dapat dilakukan.
CRV vsa
  • Honda CR-V ini juga sangat pintar. Selain dari kawalan differential belakang menggunakan elektronik, ada pelbagai fungsi canggih dalam pakej Honda Sensing ya g hanya terdapat pada varian paling premium, 1.5T 2WD. Ia terdiri dari tujuh sistem utama:
    • Adaptive Cruise Control.
    • Fungsi Low-Speed Follow yang membolehkan ia mengekori kenderaan hadapan dari kelajuan rendah sehingga 180 kmsj.
    • Forward Collision Warning System mampu menghentikan kenderaan dari tercium kenderaan di hadapan semasa kesesakan lalulintas.
    • Collision Mitigation Braking System pulag mampu mengesan kenderaan atau pejalan kaki yang sedang menuju ke arahnya (contohnya jika kenderaan dari hala bertentangan mengantuk dan masuk ke laluan kita). Ini sangat berguna untuk pemanduan urban.
    • Lane Keep Assist yang menggunakan kamera monocular dan membantu mengawal stereng supaya kita tidak terkeluar dari lorong laluan.
    • Lane Departure Warning akan membunyikan amaran dan stereng bergegar sekiranya kita sudah terkeluar dari lorong laluan tanpa memberikan isyarat membelok dahulu.
    • Road Departure Mitigation System mirip seperti fungsi di atas tetapi dengan penambahan sistem amaran kerana komputer berfikir anda sudah mahu terbabas keluar dari jalanraya. Ia berfungsi dari kelajuan 72 kmsj hingga 170 kmsj. Sekiranya komputer merasakan anda sudah mahu tersasar keluar dari jalanraya, fungsi Vehicle Stability Assist akan masuk dan cuba mengembalikan kawalan kenderaan.
Driver alert
  • Alatan keselamatan lain yang menambatkan perhatian kami ialah sistem Driver Attention Monitor yang memberi amaran sekiranya pemandu mengantuk. Apa yang terjadi ialah komputer membaca perubahan kecil yang dilakukan pada stereng ketika memandu. Sekiranya pemandu itu mengantuk atau mabuk, beliau akan banyak melakukan input stereng untuk memandu dalam keadaan lurus. Jika ini terjadi, CR-V akan mengeluarkan tanda peringatan dengan simbol secawan kopi. Jangan pula ada yang menelefon Honda Malaysia nanti bertanyakan kenapa CR-V mereka perlukan air kopi (Ah, memang akan ada yang menelefon).
  • Empat pakej aksesori telah disediakan:
    • Pakej Urban bernilai RM1,790 yang mengandungi visor pintu (RM770), pelindung bamper belakang (RM360) dan pemijak pintu sisi bercahaya (RM850).
    • Pakej Aero untuk 1.5L Turbo bernilai RM5,700 termasuk bamper hadapan aero (RM1,600), pemijak sisi (RM2,620) dan bamper belakang aero (RM2,095 dan hanya untuk varian 1.5T)
    • Pakej Aero untuk 2.0L bernilai RM5,900 yang terdiri dari bamper hadapan aero (RM1,600), pemijak sisi (RM2,620, bamper aero belakang (RM2,095) dan muncung ekzos RM250).
    • Pakej Utiliti bernilai RM1,165 mempunyai kelengkapan praktikal termasuk dulang cargo (RM300), jaring kargo (RM175), penyusun cargo (RM97.90), penghadan suria untuk tingkap (RM450) dan filem pelindung pintu dari calar (RM273).
  • Honda juga ada menjual filem tinting yang sekarang ini memang diperlukan kerana cuaca yang terik.
  • CR-V baharu ini datang dalam lima warna menarik, termasuk warna hijau Olive yang seakan hijau Olive Nissan X-Trail. Hmmm ...
  • Waranti masih lagi lima tahun.
     

 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Sebagai contoh Honda memasarkan CB125R yang menggunakan enjin paling kecil dalam siri Neo…
Berita Global
Menurut laporan Nikkei Asia, Nissan mahu bergerak ke arah penghasilan tren kuasa umum untuk EV,…
Berita Global
  Jarak roda juga sama iaitu 2,830 mm. Dari sisi, Accord nampak begitu panjang dan disumbang oleh…