Diperlihatkan buat kali pertama pada September yang lalu, Honda Motocompacto merupakan satu tribut kepada model asal Motocompo sebagai sebuah mobiliti perbatuan terakhir yang sangat ideal digunakan dalam bandar atau kampus.
Motocompacto memiliki dimensi yang agak kecil, iaitu 741.68 mm panjang, 535.9 mm tinggi dan lebar 93.98 mm sahaja apabila dilipat memudahkannya diangkut masuk ke dalam bas atau tren aliran ringan.
Malah, dengan badan yang diperbuat daripada aluminium, Motocompacto mempunyai berat sekitar 18.7 kg sahaja, dan boleh disimpan di dalam ruang kargo EV.
Tidak seperti model asal Motocompo yang hadir dengan enjin dua lejang 49 cc berkuasa 2.5 hp, Motocompacto tampil sebagai sebuah skuter elektrik berkuasa... emm.. ya.. 0.6 hp dengan bateri 6.8Ah.
Pengecasan penuh boleh dibuat dalam masa 3.5 jam, dan setelah siap ia boleh ditunggang pada jarak sejauh 19 km dengan kelajuan maksimum 24 km/j sahaja.
Di Amerika Syarikat, anda boleh membeli Honda Motocompacto dengan harga $995 (RM4,727).