Honda SENSING, kekuatan Honda Odyssey baharu - Harga RM254,800 seunit

oleh Afandi Che Muhamad|
Mengikut jejak Honda Accord dan CR-V, Honda Malaysia hari ini bertindak memperkenalkan model Odyssey baharu versi naik taraf bagi tahun 2018 di Setia City Convention Centre (SCCC), Selangor lewat petang tadi.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) itu kini dilengkapi dengan teknologi Honda SENSING seperti dua ahli 'keluarga' yang lain (Accord dan CR-V).

Sebagai permulaan, Honda Odyssey baharu hanya tersedia dengan varian 2.4L EXV bersama tiga pilihan warna seperti Platinum Putih Mutiara (Platinum White Pearl), Premium Hitam Mutiara (Premium Twinkle Black Pearl) dan Perak Metalik (Super Platinum Metallic).

Honda Malaysia meletakkan tag harga jualan asas sebanyak RM254,800 (termasuk enam peratus perkiraan GST, tanpa insurans, cukai jalan dan nombor pendaftaran) bagi seunit model Odyssey baharu berkenaan.

Penawaran harga tersebut lengkap didatangkan bersama jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan selang servis 10,000 kilometer (km).

Mengulas lebih lanjut mengenai Honda SENSING, ia diiktiraf sebagai Teknologi Keselamatan Terbaik dalam anugerah ASEAN NCAP Grand Prix 2016 tidak lama dahulu.

Untuk makluman, Honda SENSING yang dipasangkan pada model Odyssey baharu tersebut menjalankan fungsi keselamatan seperti:

  • Forward Collision Warning (FCW) - Mengeluarkan amaran secara visual dan bunyi kepada pemandu apabila kamera monokular dan radar gelombang millimeter mengesan wujud risiko perlanggaran dengan kenderaan di hadapan
  • Collision Mitigation Braking System (CMBS) - Membantu menekan brek secara progresif apabila ia mengesan risiko berlakunya perlanggaran
  • Lane Departure Warning (LDW) - Memantau posisi kenderaan menggunakan kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika ia keluar melepasi garisan jalan 
  • Road Departure Mitigation (RDM) - Memberi amaran, menekan brek dan membantu mengekalkan stereng agar pemandu tidak terbabas keluar dari jalan raya

Selain fungsi keselamatan, kehadiran Honda SENSING turut meningkatkan tahap keselesaan dan kemudahan menerusi ciri Adaptive Cruise Control (ACC) dan Lane Keep Assist System (LKAS).

Apa fungsi kedua-dua ciri tersebut ya?

Penggunaan fungsi ACC sebenarnya berupaya membantu pemandu untuk menetapkan kelajuan dan selang jarak dengan kenderaan di hadapan sementara LKAS pula bertindak mengenal pasti garis jalan selain memastikan kenderaan sentiasa berada di bahagian tengah laluannya.

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial (gambar) berkata, kehadiran Honda SENSING pada Odyssey baharu tersebut dijangka melonjakkan tanda aras keselamatan segmen MPV di Malaysia menerusi ciri keselamatan premium yang tiada tandingannya.

"Pemasangan sistem Multi-View Camera, Smart Parking Assist dan Blind Spot Information membantu memberi amaran jika kenderaan lain berada dalam titik buta terutamanya ketika pemandu menukar haluan.

“Tidak terhad di situ, Odyssey baharu turut dilengkapi enam beg udara dan ciri Cross Traffic Monitoring yang membantu memberikan amaran apabila wujud risiko perlanggaran dengan kenderaan yang mengekori rapat," katanya.

Menurut Akkbar, ciri keselamatan luar biasa di dalam MPV tersebut kemudiannya disempurnakan lagi untuk penampilan luaran yang mewah.

Penampilannya diserlahkan dengan aplikasi bampar hadapan, gril hadapan, rekaan lampu belakang LED serba baharu, lampu kabus LED, rim aloi dua tona, cermin sisi automatik (boleh lipat) dan cermin pandang belakang (automatik malap). 

Menjengah ke ruang kabin Odyssey baharu berkenaan, komponen perehat tangan lebih besar di bahagian pemandu, tempat duduk penumpang kuasa empat cara, ruang penyimpanan barang tambahan dengan utiliti telah dinaik taraf berbanding model sebelumnya.

Tempat duduk Premium Captain lengkap dengan Ottoman (dipasang pada baris kedua) kini didatangkan dengan perehat kepala lebih besar untuk meningkatkan lagi keselesaan dan keseronokan penumpang terutamanya sewaktu mengharungi perjalanan yang jauh. 

Pergerakan keluar masuk dimudahkan menerusi platform Lantai Ultra Rendah Odyssey Baharu yang menampakkan seolah-olah MPV itu mempunyai kabin luas sama seperti MPV daripada kelas lebih besar.

Masih mengekalkan ciri-ciri tersendiri daripada model terdahulu, Odyssey baharu tampil dengan silhouette tersendiri dan cukup kemas, ruang dalaman luas dan elegan, serta dilengkapi pelbagai ciri moden untuk sebuah MPV.

Beralih kepada aspek prestasi, Odyssey baharu dikuasakan nadi enjin 2.4L DOHC i-VTEC dengan teknologi Earth Dreams dan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang menawarkan pecutan yang dinamik dan terbaik dalam kelasnya dari segi penjimatan bahan api baik dipandu dalam bandar mahupun lebuh raya. 

Melihatkan kelebihan dimiliki MPV baharu tersebut, Honda Malaysia optimis mampu menjual 130 unit dalam tempoh setahun.

Odyssey baharu dengan Honda SENSING kini sudah pun dibuka untuk tempahan di semua 93 pengedar Honda di seluruh negara.

Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati dengan berkunjung ke mana-mana pengedar sah Honda, hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web, www.honda.com.my.

Berita Berkenaan

Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…
Berita Global
  Nampaknya trend penurunan harga kenderaan elektrik (EV) bukan lagi terpencil. Semasa…