Honda teruskan usaha

oleh HEZERI SAMSURI|

Memang naluri manusia untuk ambil mudah sesuatu yang digunakan setiap hari tanpa sebarang masalah. 

Antaranya ialah kenderaan kita. 

Bayangkan, lebih dari 30,000 komponen berbeza yang berfungsi berada di dalam sebuah kenderaan dan ia bergerak dan berfungsi secara sistematik setiap hari, selama bertahun-tahun. 

Tidak ramai yang tahu kesukaran untuk menghasilkan kenderaan. Ujian-ujian dilakukan ke atas rekabentuk yang dihasilkan, dan kesemuanya perlu mematuhi undang-undang homologasi setempat dan juga paling penting, ia perlu selamat.

Semakin canggih kenderaan itu, semakin meningkat risiko kerosakan atau “malfunction” akibat proses perkilangan atau dari asas rekabentuk itu sendiri.Ini nyata berbeza 20 tahun lalu di mana kenderaan tidak secanggih sekarang dan undang-undang keselamatan dan kadar asap tidak seketat sekarang.

 

recall

 

Menurut kajian Pengurusan Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan US atau US NHTSA, secara purata ada 95 panggil semula (recall) setahun, dari tahun 1966 sehingga ke awal 90-an.

Namun begitu, dari tahun 1994 sehingga 2013, jumlah purata itu menaik sehingga 177 setahun.

Kenaikan 86 peratus itu disebabkan oleh faktor-faktor ini:

  • Penyampaian sumber maklumat lebih baik kerana internet sudah wujud, maka pengguna mudah menerima berita dan membuat aduan.
  • Kenderaan sudah semakin rumit - sistem komputer dan sistem keselamatan dan penjagaan kualiti asap semakin ketat dan ini menyebabkan lebih banyak komponen wujud di dalam sebuah kenderaan. 

Kesemua jenama kenderaan sebenarnya mempunyai masalah panggil semula ini tetapi di Malaysia, jarang kita terdengar jenama premium melakukannya. 

Ini bukan bermakna jenama itu tidak mempunyai panggil semula tetapi ada beberapa faktor yang menyebabkan anda tidak mendengar sangat masalah itu berlaku kepada mereka.

  • Pemilik kenderaan jenama premium tidak seramai jenama lain. Oleh itu, syarikat kenderaan premium mudah untuk menghubungi setiap pemilik secara individu. Syarikat premium juga mempunyai database pemilik yang jauh lebih lengkap.
  • Pemilik kenderaan premium sering kali tidak mahu menggembar-gembur isu kenderaan mereka di media sosial. Mereka akan terus membuat aduan kepada pusat servis.

Selalunya, panggil semula ini mempunyai beberapa peringkat dan di negara-negara maju seperti US, Eropah, Australia dan Singapura, pihak kerajaan sendiri yang akan menyiasat dan menentukan panggil semula perlu dilakukan atau tidak. 

Kemudian, pihak kerajaan juga yang akan memastikan proses panggil semula itu dilakukan secara betul. 

Pengumuman perlu dilakukan di media-media tempatan dan audit akan dilakukan untuk mengetahui status panggil semula. 

 

GTR ca
Untuk kenderaan recond, pemilik perlu berhubung dan meminta bantuan kepada wakil jenama itu jika ada panggil-semula dan kos sepatutnya dibayar oleh pemilik AP atau penjual kenderaan recond itu.

 

Di Malaysia, kerajaan kita mungkin belum sedar bahawa teknologi komputer sekarang tidak lagi menggunakan cakera liut. Ada proses panggil semula yang perlu dilakukan tetapi ia lebih kepada laporan biasa dan tidak ada apa-apa siasatan terperinci dilakukan.

Jika ada pun, percaya atau tidak, rekod kenderaan dan pemilik kenderaan di negara ini tidak begitu lengkap. Jika ia lengkap, agensi yang berkaitan pasti tahu jumlah sebenar kenderaan yang berada di atas jalanraya sekarang ini namun apa yang akan diberikan ialah anggaran sahaja. 

Selama ini pihak media tempatan tidak pernah memberikan kritikan-kritikan yang membantu melindungi hak pengguna. 

Terima kasih kepada internet, sudah wujud media-media alternatif yang lebih “out-spoken” dan mahu memperjuangkan hak pengguna. Pembelian kenderaan bukannya murah. 

Ramai yang berhutang sehingga sembilan tahun untuk memiliki sebuah kenderaan baharu. Oleh itu, hak mereka perlu dijaga dengan betul.

honda stereng

 

Kerana itu juga, saya rasa terharu melihat usaha Honda Malaysia di dalam menangani masalah panggil semula akibat kerosakan komponen beg udara Takata itu.

Pemeriksaan kualiti dilakukan di kilang vendor komponen itu sendiri dan dalam isu Takata, tidak ada cara untuk mengetahui komponen itu rosak dari hanya pandangan mata kasar.

Peledak itu mula disyakki mempunyai masalah selepas beberapa tahun ia berada di dalam pasaran.

Ini adalah satu insiden yang jarang berlaku tetapi nampaknya, ia telah berlaku dan Honda mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kesemua peledak-peledak itu diganti secara percuma.

Saya difahamkan bahawa Honda Malaysia mengeluarkan jutaan RM untuk mendapatkan rekod pemilikan kenderaan.

Sayangnya, tidak sampai 70 peratus data yang dibeli itu boleh digunakan. Selainnya, informasi itu tidak dikemaskini atau tidak lengkap (alamat tidak lengkap atau salah).

Kesukaran itu membuka pekong agensi kerajaan yang nampaknya selama ini sudah lama tidak mengendahkan rekod pemilikan kenderaan. 

Kami sendiri faham bahawa data itu penting dan ia dijual dengan harga yang bukan murah. Jika kami mampu, sudah lama Careta membeli data pembelian kenderaan itu setiap bulan agar kami dapat melihat trend semasa pembelian kereta.

Apapun saya harap agar agensi kerajaan itu mengambil serius akan masalah ini kerana kuasa bukan hanya setakat untuk menyaman sahaja, tetapi lebih kepada memastikan kenderaan di atas jalanraya di negara ini selamat digunakan.

 

honda airbaag

 

Berbalik kepada Honda Malaysia, saya kira mereka sendiri sudah ketandusan idea bagaimana hendak memastikan semua pengguna Honda yang terbabit telah menggantikan peledak beg udara mereka.

Honda bukan hanya turun padang, tetapi mereka menubuhkan pasukan pencari sendiri untuk meronda kawasan berdekatan dengan pusat penukaran beg udara bagi memastikan pemilik kenderaan hadir.

Mungkin pemilik yang masih tidak menukarkan beg udara mereka itu mungkin terlalu sibuk untuk menyedari bahawa ada kes-kes di mana beg udara itu boleh meletup dan mencederakan mereka sewaktu kemalangan.

Ataupun mereka mempunyai ilmu kebal dan tidak takut mati. 

Honda City 2nd gen
Honda City varian ini antara yang terlibat dalam proses penukaran modul beg udara.

 

Dan yang paling menghairankan, walaupun jumlah kenderaan Honda ialah yang terbanyak menggunakan beg udara Takata, kenapa syarikat kenderaan lain tidak begitu pro-aktif untuk memastikan setiap pemilik menggantikan beg udara mereka? 

Adakah cukup dengan hanya usaha-usaha ringkas sekadar melepas batuk di tangga? 

Sekiranya kerajaan mempunyai agensi yang bertanggungjawab akan hal panggil semula ini, pastinya setiap syarikat kenderaan yang terbabit akan dipastikan melakukan usaha yang sama aktif seperti Honda.

Dan adakah penjualan kenderaan Honda menurun kerana masalah panggil semula?

  • Honda Civic - masih juara segmen C tempatan
  • Honda Accord - masih juara segmen D tempatan
  • Honda City - masih juara segmen B tempatan
  • Honda Jazz - masih juara segmen B hatchback tempatan
  • Honda BR-V – masih juara untuk segmen utility
  • Honda HR-V – masih juara untuk segmen SUV kompak
  •  
Honda Accord

 

Kepercayaan pengguna terhadap jenama Honda semakin meningkat kerana pada hemat saya, mereka nampak akan kejujuran syarikat Jepun itu. 

Zaman mendabik dada dan berkata kita tiada masalah sebenarnya sudah lama tamat. Semua orang tahu semua benda mempunyai masalah. 

Cara kita berhadapan dengan masalah itu yang membandingkan kita dengan orang lain.

Wallahuallam.

honda civic


 

Add new comment

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Street cub sudah menjadi kebiasaan sekarang ini dan bila kita sebut street cub, imej Honda C70…
Berita Domestik
Dua hari lalu Careta menjemput para pembaca untuk bertanyakan soalan-soalan berkaitan produk…
Berita Domestik
Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) terus melangkah bagi menguasai semula pasaran motosikal dengan…