Ini mungkin kenderaan Mercedes-Benz paling mampu milik dan ia hanya beroda dua

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ini mungkin kenderaan Mercedes-Benz paling mampu milik dan ia hanya beroda dua
Ini mungkin kenderaan Mercedes-Benz paling mampu milik dan ia hanya beroda dua
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di peringkat global beberapa pengeluar automotif tersohor mempunyai rangkaian kenderaan daripada sekecil-kecil saiz sehingga sebesar pikap, bas, lori dan ada juga sampai mengeluarkan kapal terbang. Walaupun kelompok pengeluar itu hadir dengan kenderaan yang canggih dan moden, ia tidak lupa untuk menawarkan kepada pengguna alat pengangkutan yang mudah dan ringkas seperti basikal.

Anda mungkin mempunyai sebuah Mercedes-Benz yang berharga ratusan ribu tetapi sudahkah anda memilik basikal Mercedes-Benz? 

Untuk itu, Mercedes-Benz Accessories GmbH telah menjalin kerjasama dengan FOCUS bagi menghasilkan empat koleksi basikal. FOCUS ialah pengeluar basikal terkemuka dunia dan biasa digunakan oleh atlet untuk latihan dan pertandingan.

Sejak 1999, FOCUS Bike dimiliki oleh Derby Cycle Holding GmbH yang merupakan pengeluar basikal terbesar di Jerman. Firma itu mempunyai beberapa jenama di bawahnya seperti Kalkhoff, FOCUS, Raleigh, Univega dan Rixe. Derby Cycle mempunyai jualan hampir setengah juta unit setahun.

Basikal FOCUS - Mercedes-Benz yang dibangunkan dan dihasilkan di Jerman itu menggunakan komponen berkualiti tinggi setara dengan jenamanya. Berikut ialah empat model basikal Mercedes-Benz untuk pelbagai kegunaan sama ada bersuka ria atau latihan.

  • Basikal bukit - Basikal ini mempunyai dua saiz roda iaitu 27.5 atau 29 inci dan empat saiz rangka berbeza iaitu 38/42 dan 46/50. Rangkanya diperbuat daripada gentian kaca dengan berat 11.4 kg. Model Hardtail dilengkapi suspensi fork depan Reba RL dengan 'spring travel' 100 mm dari RockShox. Gearnya pula buatan Shimano (22 gear) manakala cakera brek depan dan belakang dari Shimano-Deore. Tayar pula menggunakan jenama Continental Race King SL 2.2
  • Basikal lumba - Basikal ini hanya seberat 7.9 kg. Ia menggunakan rangka dan fork yang diperbuat daripada gentian kaca. Rodanya bersaiz 28 inci daripada DT-SWISS R522 yang dipadankan tayar Continental Ultrasport SL. Ia mempunyai 22 seleksi gear dengan belakang 11 kelajuan Shimano Ultegra. Stem, handlebar, kerusi pula dari jenama Concept manakala brek belakang dan depan jenis cakera hidraulik dari jenama Shimano Ultegra.
  • Basikal kecergasan - Basikal ini menggunakan rangka aluminium dengan roda 28 inci dan tayar Schwalbe Smart Sam. Ia menggunakan brek cakera hidraulik Tektro HD-M285 manakala gear pula mempunyai 27 pilihan. Fork pula dari jenis SR Suntour NEX HLO dan mempunyai jarak spring sebanyak 63 mm dan boleh dikunci. Basikal ini mempunyai berat kira-kira 13.5 kg.
  • Basikal treking - Berat basikal ini ialah 15.6 kg dan ia menggunakan tayar jenis Schwalbe Citizen Light. Ia turut dilengkapi hab lampu Nabendynamo, mud guaed dan carrier.

Selain daripada itu, Mercedes-Benz turut mempunyai topi keledar dengan ikatan kepala boleh ubah dari 56 hingga 61 cm. Ia sesuai untuk kedua-dua jantina lelaki mahu pun wanita.

Penulis: Muhammad Md Tajudin