Namun, nun jauh di negara kelahiran asal dan tanah tumpahnya minyak hitam Supra ini, Toyota mengesahkan akan memperkenalkan Supra dengan enjin empat silinder sebaris.
Namun, usah kecewa dengan penawaran tersebut, memandangkan nadi 2.0 liter dengan turbo twin-scroll itu mampu menjana kuasa setinggi 255 kuasa kuda dan 400 Nm daya kilas.
Malah, varian Supra paling asas akan menerima nadi yang sama namun dengan talaan kuasa yang lebih rendah, sekitar 194 kuasa kuda dan 320 Nm.
Di Jepun, Toyota Supra bakal ditawarkan dalam tiga varian yang berbeza; RZ, SZ-R dan SZ.
Varian tertinggi RZ akan mengekalkan penggunaan enjin 3.0 liter sebagaimana model pasaran US, manakala varian SZ-R dan SZ masing-masing bakal menerima enjin dua liter (255 hp dan 194 hp).
Selain daripada aspek kuasa, tiada sebarang diskriminasi diberikan memandangkan pada asasnya casis Supra menerima pembahagian berat ideal 50:50 dan transmisi automatik dengan lapan nisbah kelajuan secara standard.
Setakat artikel ini ditulis, tidak diketahui bilakah Toyota Supra bakal menjengah pasaran Malaysia, namun sumber dalaman memberitahu Careta bahawa hanya versi tertinggi dengan enjin enam silinder BMW bakal memasuki pasaran dengan harga jualan Toyota Supra bakal berkisar sekitar harga RM400 ribu sehingga RM500 ribu.