Daripada jumlah kenderaan termasuk kereta dan motosikal yang diperiksa itu, 285 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan pada ops berkenaan di Jalan Tanjung Lumpur, di Kuantan.
Dalam ops berkenaan, JPJ turut menyita empat kenderaan iaitu masing-masing dua kereta dan motosikal selain JPN juga menyita kad pengenalan seorang individu kerana memiliki dua kad pengenalan.
Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 402 saman dan 78 notis dikeluarkan dengan kesalahan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh paling banyak dikesan sepanjang ops terbabit.
“Kebanyakkan mereka memberi alasan tidak perasan, tidak tahu atau tidak sedar yang cukai jalan kenderaan atau lesen memandu mereka sudah tamat tempoh walaupun alasan itu sebenarnya tidak logik.
“Kita mengambil tindakan tegas untuk kesalahan yang dilakukan kerana apa yang penting bagi kami adalah keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Menurutnya lagi, ops Ambang Tahun Baru diadakan serentak di empat lokasi tumpuan di seluruh negeri ini iaitu di Tanjung Lumpur bagi zon timur, Kilometer (KM) 6 Jalan Raub – Bentong ( zon barat), KM 18 Jalan Bukit Ibam – Lebai Chondong ( zon tenggara) dan Tanjung Lalang, Temerloh ( zon tengah) serta membabitkan 141 pegawai dan anggota penguatkuasa keseluruhannya.
Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang tahun lalu, pihak JPJ merekodkan kesalahan membabitkan cukai jalan dan lesen memandu antara yang paling tinggi dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini.