"Memasuki separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan pemulihan kukuh dalam tempoh enam bulan berikutnya selepas jumlah kes baharu COVID-19 domestik semakin berkurangan dan kebanyakan perniagaan beroperasi semula.
"Kerajaan juga melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di mana semua pusat pengedaran, bilik pameran dan cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah boleh mengambil tempahan dan pendaftaran kenderaan baharu," katanya dalam nota penyelidikan.
Yap berkata, pengecualian cukai jualan menyaksikan harga kereta turun antara 1.1 peratus hingga 6.5 peratus bagi semua kenderaan, yang dilihat sebagai suntikan yang sangat diperlukan sektor automotif negara sebagaimana yang berlaku ketika tempoh 'cuti cukai' Jun hingga Ogos 2018.
Beliau berkata, pada 2018 cuti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyaksikan harga kereta susut antara tiga hingga lima peratus, sekali gus memacu permintaan ke atas kereta baharu dengan jumlah jualan sebanyak 198,500 unit bagi tempoh Jun hingga Ogos, menokok 42 peratus perbezaan suku ke suku dan meningkat 32 peratus tahun ke tahun.
"Proton Holdings Bhd (PROTON) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) meraih manfaat daripada rangsangan pengecualian cukai jualan berbanding pengeluar lain di mana harga kereta menjadi lebih berpatutan memandangkan semua barisan model keluarannya adalah CKD.
"Kami sangat yakin PROTON dan PERODUA akan terus menerajui sektor automotif pada separuh kedua tahun ini bersandarkan faktor harga lebih menarik berbanding pesaingnya.
"AmInvestment Bank mengekalkan saranan 'Beli' ke atas saham DRB-Hicom dengan nilai saksama RM2.49 sesaham dan saham MBM Resources dengan nilai saksama RM4.62 memandangkan kedua-duanya adalah proksi kepada PROTON dan PERODUA," katanya.