"Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baharu adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, ia akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Nik Nazmi berkata, NRECC melalui Jabatan Alam Sekitar telah selesai melaksanakan proses pameran awal Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi ‘Cadangan Pembangunan Sebuah Lapangan Terbang Baharu di Pulau Tioman untuk Operasi Penerbangan Kod 4C Yang Berkeluasan 460.50 Ekar, Tioman, Daerah Rompin, Pahang Darul Makmur.’
Katanya, laporan itu dipamerkan selama 30 hari dari 21 Jun hingga 20 Julai 2023 dan orang awam telah mengemukakan sejumlah 1,412 ulasan dari 21 Jun hingga 4 Ogos lepas.
Nik Nazmi berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal EIA pada Rabu mendapati cadangan pembinaan lapangan terbang baharu berpotensi memberi impak negatif yang amat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya penerima sensitif di sekitar Pulau Tioman termasuk ekologi marin, jika diteruskan.
Beliau berkata, NRECC berpandangan keputusan untuk tidak meneruskan pembangunan lapangan terbang itu selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli serta alam sekitar secara optimum dan bertanggungjawab.
"Keputusan ini juga secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam sekitar demi mencapai kemampanan dan menjamin kesejahteraan negara," katanya.