Kereta Elektrik - Bakal gugat pekerjaan sektor automotif

oleh HEZERI SAMSURI|
Dunia automotif sekarang sedang rancak ke arah kenderaan elektrik atau EV.

Apa yang ramai tahu ialah EV ini tidak akan membunuh planet bumi dengan pencemaran udara. 

Walaupun ada yang akan berkata pencemaran tetap berlaku kerana punca elektrik negara Malaysia masih datang dari arang batu, tetapi punca pencemaran sudah boleh "diasingkan" dan tidak lagi bertumpu di kawasan urban yang banyak dengan kenderaan.

Kenderaan EV juga mempunyai kos penyelenggaran yang sangat rendah. Ia tidak ada enjin untuk dijaga, bermakna tidak ada minyak enjin, penapis minyak dan udara, talisawat dan sebagainya.

Renault Zoe EV milik penulis contohnya, hanya perlu diservis pada bahagian brek dan juga pendingan hawa. Itu pun berlaku dalam enam bulan sekali.

Namun ada satu fakta yang tidak dijelaskan oleh kebanyakan syarikat kenderaan - kenderaan EV tidak mempunyai komponen bergerak yang banyak.

Chevrolet Bolt EV contohnya, mempunyai kurang dari 80 peratus komponen bergerak berbanding dengan kereta biasa.

Tesla pula mempunyai kurang dari 20 peratus, katanya.

Trenkuasa elektrik memang tidak mempunyai banyak komponen bergerak. Ia tidak ada transmisi yang rumit, ia tidak ada injap, tidak ada sistem ekzos, tidak ada penyuntik bahan api, tidak ada radiator dan pelbagai lagi.

Dan oleh kerana ia mempunyai kurang komponen, maka ia tidak lagi memerlukan tenaga pekerja yang banyak. Jumlah vendor juga boleh dikurangkan, dan ini bermakna pengecilan industri automotif.

 

 

Sekiranya sesebuah negara mahu serius ke arah industri automotif elektrik, ia perlu memikirkan masalah ini.

Indonesia contohnya sudah mengumumkan projek "Kenderaan Listrik" mereka dan kerajaan negara itu mahu membina infrastruktur dan prasarana ke arah mesra EV.

Namun begitu, kajian mendapati Indonesia masih tidak lagi mempunyai jaringan elektrik yang lengkap untuk bersedia dengan kemunculan EV yang banyak.

Ia juga mempunyai jutaan pekerja yang bergantung kepada industri automotif semasa.

Malaysia juga sebenarnya masih belum bersedia, tetapi sumber-sumber rapat memberitahu Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) yang bakal dilancarkan kelak sudah mempunyai dasar-dasar yang kukuh untuk menyiapkan Malaysia sebagai negara yang mesra EV, baik dari segi penggunaan mahupun dari segi R&D.

Berita Berkenaan

Informasi
Dari keselesaan akustik hingga ke cengkaman dan pengurusan berat, EV meningkatkan lagi cabaran yang…
Berita Global
Tayar EV juga menghasilkan 30 peratus lebih PM 2.5, zarahan yang lebih halus dan akan menyebabkan…
Berita Domestik
Di bawah kerjasama strategik ini, ChargEV dan KINETA akan bekerjasama untuk meningkatkan dan…