Menurut Department of Justice, individu bernama Ryan Sheridan yang memiliki Braking Point Recovery Centers di Ohio diarahkan untuk membayar $24,479,939 (RM104 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat atas kesalahan penipuan perkhidmatan pemulihan dadah dan alkohol yang bernilai $48 juta (RM205 juta).
Disebabkan ketiadaan dana untuk membayar denda yang dikenakan, perintah pelucutan telah pun dikeluarkan dan ia melibatkan tiga buah replika kenderaan termasuklah Batmobile dari filem Batman 1989, Ecto-1 dari Ghostbusters serta sebuah DeLorean dari filem Back To The Future.
Jentera Batmobile itu direka berdasarkan kereta Chevrolet Caprice Classic 1995 dan menampilkan enjin V8 5.7 liter yang memacu roda belakang, hasil kerja badan kustom, ruang kemasukan udara stail turbin, dan ruang kabin yang unik dengan bermacam-macam meter dimuatkan.
Ia hadir dengan thruster di bahagian belakang, flux capacitor, sistem pendawaian di bahagian luar kenderaan, sementara bahagian kabin dipasang dengan jam masa dan mesej amaran apabila anda memandu pada kelajuan 88 batu sejam (142 km/j).
Kesemua kereta replika ini akan dilelong menerusi Skipco Auto Auction bermula 1 Ogos ini, dan bagi mereka yang tidak berkesempatan, bidaan boleh dilakukan menerusi acara dalam talian.