Kia Bongo LPG Turbo dilancar di Korea, enjin 2.5 turbo guna LPG!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Kia Bongo 2023
Kia Bongo 2023
Tahukah anda? Pengeluar kereta ternama juga memiliki siri kenderaan perdagangan sebagai contoh Volkswagen, Toyota, Renault, Nissan dan banyak lagi.

Selepas Perang Dunia Kedua, kenderaan perdagangan seperti pikap atau lori kecil menjadi objek ekonomi untuk rakyat di negara-negara Asia.

Negara kita juga mempunyai jenama kenderaan perdagangan seperti Inokom dan Hicom.

Seperti Jepun dan Eropah, pengeluar Korea turut mempunyai wakil seperti yang boleh dilihat melalui Kia Bongo.

Mungkin ada yang terlintas nama Bongo seperti siri van Mazda. Jawapannya bukan kebetulan kerana Bongo dijenamakan semula dari lori buatan Mazda.

Menjejaki sejarah, Kia Bongo dikeluarkan pada 1980 dan kini berada di dalam generasi keempat selepas diperkenalkan pada 2005.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kia Bongo 2023

 

Kedua-dua syarikat Korea dan Jepun tidak lagi bekerjasama namun Kia masih mengekalkan nama Bongo.

Terbaru di Korea, Kia melancarkan Bongo LPG Turbo. Nama menarik dan cerminan kepada teknologi yang digunakan. Jeriji hidung harimau juga tidak dilupakan!

Masih lagi di dalam generasi keempat, Bongo terbaru dilengkapi enjin LPG 2.5 turbo untuk mendapatkan prestasi dan kecekapan bahan api berbanding model diesel.

Selain itu, kotak gear automatik lima kelajuan yang sebelum ini khusus untuk Bongo 1 Tan turut ditawarkan pada Bongo 1.2 tan.

Apakah kelebihan rangkaian kuasa baharu ini? Bongo LPG Turbo menghasilkan 159 kuasa kuda (hp) dan tork 294Nm bagi model automatik lima kelajuan.

Model manual enam kelajuan pula menghasilkan 138 hp dan tork 255Nm dan masing-masing sekitar 18.4 peratus lebih baik berbanding model diesel.

 

Kia Bongo 2023

 

Kadar penggunaan bahan api untuk Bongo LPG Turbo ialah 7 kilometer per liter (km/l) bagi model manual enam kelajuan dan 6.5 km/l untuk model automatik lima kelajuan.

Kadar tersebut untuk Bongo King Cab 2WD Ultra Long Axle 1 Tan. Berdasarkan kiraan Kia, penjimatan yang diperolehi agak besar.

Sebagai contoh Bongo King Cab 2WD Ultra Long Axle 1 Tan LPG Turbo dengan kotak gear automatik lima kelajuan dipandu 2,000 km setiap bulan selama setahun.

Penjimatan yang dibuat sekitar 800,000 won (RM2,888) setahun berbanding model diesel*.

Dari segi kelengkapan, Kia menyeragamkan Bongo LPG Turbo dengan beg udara penumpang sisi, lampu lubang kunci dan kawalan lampu automatik untuk semua varian.

Varian paling premium menerima paparan audio lapan inci dengan sokongan Android Auto/Apple CarPlay, monitor belakang dan slot pengecas USB Type-C.

 

Kia Bongo 2023

 

Lebih lengkap, pelanggan ditawarkan pilihan pembelian seperti pakej navigasi 10.25 inci dengan Kia Connect, sistem kunci pintar tekan mula dan penyaman udara automatik penuh.

Pelanggan juga boleh memesan bahagian dalaman warna coklat.

Berikut harga Kia Bongo LPG Turbo untuk model King Cab 2WD Ultra Long Axle dengan kotak gear manual enam kelajuan.

  • 1 tan - KRW19.93 juta hingga KRW22.75 (RM71,895 - RM82,068)
  • 1.2 tan - KRW24.21 juta hingga KRW25.24 (RM87,335 - RM91,041).

Sekiranya layak, pelanggan yang membeli Bongo LPG Turbo dan bertukar daripada kenderaan diesel dapat menikmati subsidi sehingga 9 juta won (RM32,468).

 

Kia Bongo 2023

 

Satu fakta yang ingin dikongsi ialah, berada di dalam satu kumpulan, Kia dan Hyundai mempunyai model salinan masing-masing atau dibangunkan secara bersama.

Bongo versi Hyundai dikenali sebagai Porter dan model generasi ketiga sangat dekat dengan peniaga tempatan apabila Inokom menjenamakannya sebagai Lorimas.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

*LPG 970 won (RM3.49), diesel 1,600 won (RM5.77). Berdasarkan kadar penggunaan 8.8 km/l Bongo King Cab  Ultra Long 1 Tan automatik.