Untuk rekod, kumpulan tersebut mencatatkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 10.61 juta unit.
Masing-masing sebanyak 5.28 juta unit daripada Nissan, 3.76 juta (Renault) dan 1.03 juta Mitsubishi.
Tidak hanya tiga jenama tersebut, angka jualan berkenaan turut disumbang beberapa label jenama lain seperti Datsun, Infiniti, Samsung Motors, Alpine, Dacia, Lada dan Venucia.
Justeru, tidak menghairankan jika angka berkenaan mengatasi Volkswagen yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan angka jualan sebanyak 10.53 juta unit keseluruhan.
Meski pun baru, Mitsubishi dilihat memberikan komitmen sepenuhnya bagi melonjakkan prestasi kumpulan bermula tahun lalu.
Hasilnya, graf permintaan pasaran terhadap Kenderaan Utiliti Sukan (SUV), kenderaan komersial (ringan) dan Kenderaan Elektrik (EV) kumpulan meningkat sebanyak 6.5 peratus, lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Di sebalik perkembangan positif dihasilkan kumpulan berkenaan, ada desas-desus mengatakan kejayaan itu dibantu populariti beberapa jenama berbeza sementara Volkswagen pula hanya bergantung harap pada jenamanya sendiri sahaja.
Harus diketahui, Volkswagen turut menguasai jenama seperti Skoda, Audi, Porsche dan Seat (subsidiari lain).
Beralih kepada Toyota pula, syarikat pengeluar kelahiran negara 'Matahari Terbit' (Jepun) itu tercicir ke tempat ketiga dengan jualan 10.2 juta unit keseluruhan.
Careta mengucapkan jutaan tahniah kepada Kumpulan Nissan, Renault dan Mitsubishi atas kejayaan diperoleh!
Dan kepada pengeluar lain, mungkin ini petanda untuk mereka melipat gandakan jualan kenderaan masing-masing supaya kedudukan tersebut bakal berubah tahun hadapan.