Menurut laporan daripada BimmerToday, BMW akan menggugurkan model 6 Series GT untuk model tahun 2024.
Alasannya mudah - permintaan terhadap model tersebut tidak seperti yang diharapkan.
Walaupun 6 Series secara asasnya berkongsi platform dengan 5 Series, BMW hanya dapat menjual 509 unit sahaja di Jerman pada tahun lepas, dan sepanjang separuh pertama 2023, 6 Series Gran Turismo merupakan model yang paling tidak laku dengan jumlah sebanyak 237 unit.
Laman Motor1 turut mendapatkan kenyataan rasmi daripada wakil jurucakap BMW, Liana Drews berhubung penamatan model tersebut.
Jelasnya, peranan yang ditinggalkan oleh BMW 6 Series Coupe, Convertible dan Gran Coupe kini mampu dipenuhi oleh BMW 8 Series.
"Dengan munculnya 5 Series generasi baharu, penawaran BMW 6 Series GT akan turut dihentikan, dan produksinya kini ditamatkan.
Tiada sebarang pengumuman rasmi berhubung nasib 6 Series pada masa akan datang.
Terdapat kemungkinan besar BMW akan mengikut jejak langkah Mercedes-Benz dalam usaha untuk meringkaskan lagi penawaran produk sedia ada, seperti contoh menggabungkan model coupe dan convertible 4 Series dan 8 Series menjadi sebuah model tunggal di bawah nama 6 Series.
BMW Malaysia pernah menawarkan model 6 Series sebelum ini, di mana kira-kira dua tahun yang lalu versi facelift muncul dalam bentuk BMW 630i GT M Sport, membawakan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 258 hp dan 400 Nm.
Sumber: BimmerToday, Motor1