Disebabkan jenama itu kini sudah mendapat sokongan yang besar daripada syarikat induk Stellantis, Lancia kini mengorak langkah dengan memperkenalkan sebuah lagi 'varian' bagi model Ypsilon, dan ia disasarkan untuk menawarkan penyelesaian mobiliti urban yang lengkap dan lestasi.
Sayang sekali, ia bukanlah sebuah kereta empat roda, sebaliknya Ypsilon yang dilancarkan ini merupakan sebuah e-skuter, atau skuter elektrik.
Ia dibangunkan dengan kerjasama pakar mikromobiliti urban MT Distribution, dengan spesifikasi seperti motor elektrik brushless 250 watt dan menawarkan jarak sehingga 18 kilometer untuk sekali cas penuh.
Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah lampu LED depan dan belakang, penggunaan rangka aluminium, roda bersaiz lapan inci dan struktur yang mudah dilipat untuk penyimpanan di dalam ruang kargo kenderaan.
Sedikit info menarik berkenaan model sebenar Lancia Ypsilon, ia merupakan satu-satunya hatchback segmen B yang dijual oleh Lancia, namun Ypsilon merupakan model kedua paling laris di Itali dengan 22,783 unit diedarkan untuk lima bulan pertama tahun ini.
Selain daripada itu, angka jualan Lancia Ypsilon sahaja sudah berjaya mengalahkan angka jualan keseluruhan model Alfa Romeo di Eropah untuk tempoh Januari-Mei 2021!