Bakal diposisikan di bawah Land Rover Defender 90 yang ketika ini baharu sahaja menyerang pasaran utama dunia, Land Rover baharu ini bakal memiliki dimensi yang lebih kecil dan sudah tentu dengan harga yang lebih mampu milik.
Tiada sebarang gambar rasmi diperoleh pada masa ini, jadi seorang pereka Dejan Hristov (bukan Tengku Djan) menunjukkan bagaimana kemungkinan model 'baby Defender' bakal mengambil bentuknya.
Dejan banyak mengambil inspirasi daripada Defender generasi baharu untuk model Defender mini ini termasuklah rekaan berbentuk kekotakan dan penampakan yang bersedia untuk menyerang apa jua bentuk muka bumi.
Menurut sumber, model Defender mini (Land Rover 80 mungkin?) akan hadir seawal tahun 2021 dengan enjin konvensional empat silinder sebaris serta model hibrid yang hadir dengan enjin tiga silinder sebaris, dengan opsyen pacuan semua roda disediakan.
Di pasaran di mana permintaan SUV dan crossover yang tinggi, Land Rover berjaya meningkatkan kadar penjualan model-model mereka, dibantu dengan pengenalan model Defender generasi baharu.
Dengan penambahan model 'baby Defender', ia dilihat bakal melonjakkan lagi nama Land Rover terutama bagi golongan sasaran yang sebelum ini sukar untuk didekati.