Selain daripada itu, ia juga dikatakan mampu menjana ribuan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan yang disediakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) itu telah mendapat kelulusan oleh Jemaah Menteri setelah mengambil kira pertimbangan yang teliti.
Antara perubahan utama yang dicadangkan dalam pelan itu adalah memperkenalkan semula penerbangan berjadual serantau menggunakan pesawat jet dan kargo di LTSAAS.
“Sasaran pasaran adalah kumpulan penumpang bisnes ataupun kelas premium dengan memanfaatkan penuh kedudukan LTSAAS yang cukup strategik di tengah-tengah ibu kota.
“Penerbangan berjadual menggunakan pesawat propeller dan turboprop akan dikekalkan berikutan permintaan pasaran terhadap perkhidmatan itu yang dijangka berterusan dan positif,” katanya pada sidang media di LTSAAS di sini, hari ini.
Untuk langkah seterusnya Loke berkata MAHB akan merangka seluruh pelan pembangunan semula LTSAAS merangkumi kos keseluruhan projek untuk dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum suku pertama tahun ini berakhir, iaitu kurang daripada dua bulan dari sekarang.
Secara amnya, ekosistem yang akan dibangunkan di LTSAAS bakal melibatkan tujuh komponen yang meliputi pusat industri aeroangkasa; pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; pusat penyelidikan dan pembangunan; operasi penerbangan am; operasi penerbangan bisnes; mobiliti udara bandar dan operasi penerbangan komersial serantau.
Sumber: Bernama