Secara asasnya, CX-70 merupakan versi SUV dua baris tempat duduk sebagai alternatif kepada penawaran SUV tiga baris tempat duduk CX-90, dengan ukuran dimensi yang hampir serupa.
Malah, kedua-dua model tersebut sebenarnya berkongsi ukuran jarak antara roda yang sama, iaitu 3,119 mm.
Membezakan antara kedua-dua model tersebut ialah pendekatan rekaan yang lebih sporti untuk model CX-70.
Seperti contoh, penggunaan kemasan krom hitam, mesh jeriji hadapan berwarna hitam, struktur bampar depan dan belakang yang berbeza, diikuti dengan kemasan warna gelap pada perumah cermin sisi, pemegang pintu, rel bumbung dan rim 21 inci.
Susun atur ruang kabin CX-70 juga dilihat menyamai apa yang ditawarkan pada CX-90.
Disebabkan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, CX-70 mampu menawarkan ruang kargo yang jauh lebih besar, sesuai dan praktikal untuk kegunaan keluarga yang kecil.
Terdapat pilihan tempat duduk dengan balutan kulit merah serta jalur aksen hitam, serta jahitan merah pada panel pintu dan roda stereng, atau tempat duduk balutan kulit hitam berserta aksen dan jahitan emas disediakan.
Sama seperti CX-90, Mazda CX-70 boleh didapati dalam versi enjin enam silinder sebaris dengan teknologi hibrid ringan, atau varian plug-in hybrid dengan nadi 2.5 liter.
Berdasarkan penawaran CX-90, enjin inline-6 3.3 liter itu mampu menghasilkan kuasa setinggi 280 hp/450 Nm atau 340 hp/500 Nm, sementara versi PHEV pula mampu menghamburkan kuasa setinggi 323 hp dan daya kilas 500 Nm.
Lebih banyak info bakal menyusul menjelang pelancaran rasmi model tersebut kelak.