Mercedes-AMG GT 2024 - nadi V8, 577 hp, 800 Nm, konfigurasi 2+2, sistem AWD!

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa tahun lepas, Mercedes membuat keputusan untuk mengasingkan penawaran model coupe dan roadster convertible di bawah dua nama berbeza - SL hanya wujud dalam versi convertible, diikuti dengan GT dalam bentuk coupe.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setelah kemunculan model AMG SL dengan bumbung yang boleh dibuka pada tahun 2021, kini tiba pula giliran 'kembar' coupe pantas Mercedes-AMG GT 2024 yang sedia untuk membelah jalan raya dan litar lumba.

Mercedes-AMG GT 2024 generasi kedua ini membawakan ukuran sepanjang 4,728 mm (+182 mm), dengan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm (+70 mm), diikuti dengan 45 mm lebih lebar dan 66 mm lebih tinggi.
 

AMG GT


Biarpun berkongsi platform yang sama dengan AMG SL, namun AMG GT telah diberikan rupa paras yang lebih garang.

Dari sudut hadapan, ia mendapat rekaan jeriji Panamericana dengan kemasan hitam berkilat, serta unit lampu utama yang berbeza rekaannya berbanding AMG SL.
 

AMG GT


Sementara bahagian belakang pula membawakan unit lampu yang lebih nipis.

Secara standard, AMG GT hadir dengan rekaan rim bersaiz 20 inci, atau opsyen naik taraf kepada rim 21 inci.
 

AMG


Tidak seperti model terdahulu, AMG GT 2024 kini ditawarkan dengan konfigurasi tempat duduk 2+2 yang lebih praktikal, serta ruang penyimpanan barang yang lebih besar.

Susun atur ruang kabin adalah hampir sama dengan model AMG SL, dimana ia didatangkan dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur 11.9 inci, roda stereng AMG Performance, tempat duduk jenis bucket, sistem pencahayaan ambien, serta tidak ketinggalan ruang kargo sebesar 321 liter yang boleh dibesarkan kepada 675 liter.
 

AMG GT


Dari segi kuasa, Mercedes-AMG GT 2024 dibekalkan dengan dua pilihan enjin V8 yang telah dioptimasikan untuk piawaian emisi Euro 7.

Nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu berupaya menghasilkan 469 hp dan 700 Nm dalam versi AMG GT 55, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 295 km/j.

Dalam versi AMG GT 63 pula, nadi V8 itu tadi mampu menghamburkan kuasa setinggi 577 hp dan 800 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan tertinggi 315 km/j.
 

AMG


Kuasa itu tadi disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AMG Performance 4MATIC+ menerusi transmisi AMG Speedshift sembilan nisbah kelajuan yang kini diposisikan di belakang enjin, serta menampilkan klac permulaan basah bagi menggantikan torque converter.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem suspensi AMG Active Ride Control dengan fungsi penstabilan olengan aktif, pembeza kekunci belakang kawalan elektronik, sistem stereng gandar belakang aktif dan juga sistem aerodinamik aktif.

Baca: Mercedes-AMG SL 2022 dengan nadi V8

Baca: Mercedes-AMG SL 43 2023, nadi M129 2.0 liter