Di China, Mercedes-Benz telah memperkenalkan varian aras mula bagi model G-Class bertujuan untuk mengurangkan beban ke atas pembeli akibat cukai yang tinggi dikenakan bagi kereta yang memiliki kapasiti enjin yang besar.
Enjin yang digunakan pada model G 350 ini adalah enjin empat silinder sebaris turbo 2.0 liter M264 yang mampu menghasilkan 255 kuasa kuda dan 370 Nm.
Ia dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic dan sistem pacuan empat roda, memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat sahaja dan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 190 km/j.
Walaupun bertaraf aras mula, kelengkapan pemanduan yang hadir pada G 350 ini tidak kurang menariknya dengan sistem suspensi Agility Control, Dynamic Select, sistem Pre-Safe dan juga bantuan pengekalan laluan aktif, serta roda bersaiz 19 inci.
Memasuki ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan skrin paparan berkembar 12.3 inci, sistem kawalan iklim Thermothronic tiga zon, tempat duduk hadapan dengan ciri pemanasan, dan juga sistem pencahayaan ambien.
Dengan enjin yang lebih kecil, harga jualan G 350 juga sememangnya lebih murah berbanding varian G 500 (enjin 4.0 liter V8, 416 hp/610 Nm), bermula dari 1,429,800 yuan (RM868,537) sementara varian G 500 pula bermula dari 1.628 juta yuan (RM688,934).