MINI Malaysia perkenal Urbanite dan Amplified Edition - Harga dari RM198,888 hingga RM248,888

oleh Afandi Che Muhamad|
Pengeluar kenderaan kompak premium, MINI Malaysia memperkenalkan dua model MINI Hatch edisi terhad baharu terdiri daripada MINI Urbanite dan MINI Amplified.

Direka untuk individu yang bergaya dan mengamati trend, MINI Urbanite Edition dihasilkan di atas platform MINI Cooper lima pintu sementara MINI Amplified Edition pula dibina daripada model MINI Cooper S tiga pintu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, pihaknya menawarkan dua kereta baharu tersebut bersempena meraikan sambutan Tahun Baru Cina kali ini (Tahun Anjing).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"MINI Urbanite Edition sememangnya satu penyataan yang sempurna tentang aspek gaya, muda dan segar jenama ini.

"MINI Amplified Edition pula menyerlahkan ciri sporty dan pengendalian lincah yang cukup sinonim dengan MINI. Warnanya yang serba merah nyata membawa kemakmuran ke Tahun Baru ini,” katanya.

Mengulas mengenai model Urbanite Edition, Sang Yun menegaskan enjin tiga silinder 1.5 liter turbo dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan bagi menggalas tugas menggerakkan roda.

Justeru tidak menghairankan jika model berkenaan boleh menghamburkan kuasa setinggi 136Hp dan puncak tork mencecah 220Nm sekali gus berupaya memecut sepantas 0-100 km/j dalam tempoh 8.1 saat (kelajuan maksimum 207 kmsj).

Bahagian luaran MINI Urbanite menampilkan tambahan sepasang lampu LED di bahagian hadapan yang kemudian dipadankan bersama rim hitam 16 inci Victory Spoke.

Bermula dari bahagian hadapan hingga belakang, pemasangan jalur perlumbaan pada model ini boleh didapati dalam warna berbeza mengikut warna badan yang dipilih.

MINI Urbanite Edition disediakan dengan pilihan warna Midnight Black dengan jalur merah dan Blazing Red dengan jalur Pepper White untuk disesuaikan mengikut citarasa pengguna.

Menjengah ke bahagian kabin, MINI Urbanite ini menggunakan kemasan warna Glowing Red John Cooper Works bersama lapik bumbung Anthracite dan lencana Urbanite.

Untuk makluman, model ini turut didatangkan bersama kamera undur dengan sistem bantuan letak kereta dan roda stereng sport.
 

Beralih kepada Amplified Edition pula, ia menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo yang telah dinaik taraf dengan kit talaan JCW Pro dan sistem injap penyenyap JCW Pro dengan kawalan Bluetooth.

Enjin tersebut mampu menghasilkan 211 hp dan 300 Nm tork.

Selain itu, MINI Amplified turut dilengkapi dengan kit aerodinamik JCW bersama spoiler belakang dan rim yang digunakan ialah unit 17 inci JCW Track Spoke hitam.

Seperti MINI Urbanite, padanan warna yang ditawarkan ialah Midnight Black dengan jalur merah, Chilli Red atau Pepper White (jalur hitam).

Harus diketahui, pembelian kedua-dua model berkenaan dilindungi dengan program Bantuan Tepi Jalan selama 5 tahun MINI Malaysia.

Menerusi program tersebut, pengguna boleh mengakses bantuan kemalangan On the Spot, Perkhidmatan Tunda Secara Percuma dan jika perlu kereta ganti akan diberikan (lebih 200km dari kediaman), mobiliti mudah, Penyelesaian Perkhidmatan Mobiliti beserta servis penghantaran.

Program Bantuan Tepi Jalan MINI boleh diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808. Tidak terhad dengan itu, MINI Urbanite dan MINI Amplified turut dilengkapi jaminan perbatuan tanpa had selama empat tahun dan servis berjadual percuma.

Sebagai permulaan, MINI Urbanite Edition ditawarkan pada harga asas (tidak termasuk insurans) berjumlah RM198,888 sementara MINI Amplified Edition pula berharga RM248,888.

Maklumat lanjut mengenai MINI Hatch Edisi Terhad ini boleh didapati dengan melayari laman web www.mini.my/urbn-ampd.

Kedua-dua model ini sudah boleh didapati di semua bilik pameran sah MINI di seluruh negara bermula semalam.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Sejak diperkenalkan buat pertama kalinya di Malaysia pada 2011, MINI Countryman telah mendapat…
Berita Domestik
Pelanggan yang membuat pembelian jentera MINI baharu akan dapat menikmati kadar faedah serendah 0.…
Kereta
Ruang ekzos digunakan untuk mengisi bateri 32.6 kWh dan kerana Mini ialah sebuah kenderaan yang…