Laporan daripada media automotif Jepun BestCarWeb menyebut Nissan bakal melakukan pertukaran model penuh (Full Model Change) untuk MPV Serena yang bakal diperkenalkan pada Oktober 2021.
Berdasarkan gambar rendering yang diperoleh, Nissan Serena generasi baharu mungkin sekali akan menampilkan elemen daripada abang besarnya Nissan Elgrand, akan tetapi masih lagi mengekalkan ciri-ciri praktikaliti seperti ruang dalaman yang luas dan tinggi seperti yang ada pada ketika ini.
Trenkuasa yang digunakan oleh generasi terkini Serena akan turut diwariskan pada generasi baharu, iaitu enjin 2.0 liter MR20DD S-Hybrid serta enjin tiga silinder sebaris 1.2 liter e-Power HR12DE.
Menurut BestCarWeb lagi, trenkuasa e-Power itu berkemungkinan besar akan ditala semula bagi menghasilkan 140 PS berbanding 136 PS pada ketika ini.
Selain daripada itu, Nissan Serena generasi baharu bakal menerima manfaat kelengkapan keselamatan terkini seperti sistem pemanduan autonomi ProPilot 2.0 yang dipertingkatkan.
Sumber: BestCarWeb