Kereta lumba GT4 merupakan kereta hari litar (track day) yang disiapkan oleh pengeluar dan ditawarkan kepada umum.
Pasukan juga boleh membangunkan kereta sendiri berasaskan kereta produksi yang dihasilkan oleh pengeluar.
Untuk projek ini, Jabatan Perlumbaan NISMO menggunakan Z versi jalanan dan menala enjin standard VR30DDTT.
Di dalam keadaan standard, enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar itu berkuasa 400 hp dan daya kilas 475 Nm.
Selain enjin, NISMO turut mempertingkatkan casis, suspensi dan aerodinamik kereta mengikut had yang ditetapkan untuk kereta GT4.
Kokpit kereta pula dibuat supaya bersesuaian untuk semua jenis pelumba dan boleh digunakan pelbagai kategori pelumba sama ada amatur mahu pun profesional.
Secara asasnya spesifikasi kereta GT4 hampir menyamai kereta produksi tetapi dengan pengurangan komponen untuk menurunkan berat kereta.
Semestinya dipasang ialah rangka keselamatan dan sistem pemadam api.
Bahagian luar kereta dilengkapi splitter depan, canard dan spoiler GT di belakang. Kedua-dua sisi bonet ditebuk untuk laluan udara.
Program pembangunan Z GT4 dibuat di kemudahan kejuruteraan NISMO dan melalui pelbagai sesi litar termasuk sebagai kenderaan ujian di Perlumbaan 24 Jam Fuji pada Jun lalu.
Kereta ini juga digunakan pada Siri Super Taikyu di Motegi dan pelbagai lagi.
Lebih banyak perincian ubah suai dan spesifikasi akan didedahkan pada SEMA 2022 November depan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin Kredit foto: Nissan