Pandu Perodua Kenari keliling dunia

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Seorang pereka media digital nekad memandu kereta jenis Perodua Kenari yang sudah berusia 20 tahun bagi mencapai impiannya mengelilingi dunia secara solo yang tersimpan sejak kecil menurut laporan dari Sinar Harian

Jack Voon Kuet Fei, 47, memulakan misi perjalanan itu di Kuantan pada Rabu.

Anak kelahiran Sarawak itu berkata, dia merancang misi solonya itu sejak lima tahun lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Dulu masa kecil selalu bayangkan betapa luasnya dunia ini, namun cerita mengenai negara-negara luar ketika itu hanya dilihat melalui kaca televisyen, majalah dan surat khabar.

"Dari situlah timbul keinginan untuk mengelilingi dunia, namun ia bukan sesuatu perkara mudah," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Ekspedisi Mengelilingi Dunia Menggunakan Perodua Kenari di pekarangan Menara 188 pada Rabu.

Majlis pelepasan anjuran Persatuan Eksplorasi dan Kembara Malaysia bersama Persatuan Perdagangan dan Pelaburan Guanxi Pahang itu disempurnakan Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man.

Jack mengakui pernah hampir putus asa untuk memenuhi impian itu berikutan kesibukan kerja.

"Apabila memasuki usia 40-an, saya rasa 'patah hati' kerana terlalu sibuk dengan urusan kerja.

"Jadi saya fikir, kena buat semula apa yang sudah lama saya impikan iaitu keluar melihat dunia dan mengenali lebih banyak budaya di negara lain.

"Sejak itu, saya mula simpan wang dan sepanjang empat tahun hanya bekerja, tidak keluar berseronok atau lepak minum dengan kawan-kawan," katanya.

Berkongsi berhubung kereta digunakan, Jack berkata, Perodua Kenari dipilih kerana lebih ekonomi dan selamat.
 

gambar dari Sinar Harian

"Kereta ini telah disiapkan termasuk dibaik pulih enjin, dicat baharu dan dilengkapi beberapa peralatan pengembaraan termasuk panel solar serta bateri tambahan.

"Bagi saya kereta ini paling sesuai kerana kalau guna kereta mewah atau kenderaan pacuan empat roda yang diubah suai besar risikonya mungkin kena rompak atau berdepan masalah lain apabila memasuki negara tertentu," katanya.

Tambahnya, ekspedisi itu merangkumi jarak perjalanan keseluruhan kira-kira 200,000 kilometer merangkumi lebih 100 negara dan dijangka mengambil masa hingga tiga tahun.

"Kalau perjalanan berjalan lancar, saya jangka kembali ke tanah air pada Mei 2027," katanya.

 

Sinar Harian