Pemandu tersepit, bas langgar belakang lori

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG pemandu tersepit selepas bas yang dipandunya melanggar bahagian belakang sebuah lori di KM231 arah utara di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Taiping awal pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Alwan Harun, 33 tahun cedera pada bahagian muka sementara pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.59 pagi.

 

Sejurus itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping diatur gerak ke lokasi bagi kerja-kerja menyelamat mangsa.

 

Menurut beliau, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang pemandu bas tersepit, bagaimanapun tiada penumpang lain berada di dalam kenderaan itu ketika kemalangan berlaku.

 

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

 

“Mangsa diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan sejurus berjaya dibawa keluar daripada bangkai kenderaan itu,” katanya.

 

Ujarnya, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Ariff Fadlee Yaacob itu tamat pada jam 6.25 pagi.